Wajah-Wajah & Kisah Penumpang, Anak Kapal MH370

on Sunday 23 March 2014


Firman Chandra Siregar (dua, kiri)

HARI berganti hari, penderitaan dan kesedihan yang dirasai oleh keluarga penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang masih dirasai.

Sama ada mereka orang biasa, anak kapal, artis-artis terkenal dunia atau
jurutera terkemuka, yang pasti semua mereka mempunyai keunikan dan kelebihan tersendiri dan masing-masing dihargai.
Untuk berkongsi kisah-kisah mereka, Sunday Star telah melihat laman Facebook dan Weibo mereka serta laman web berita di seluruh dunia untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah mereka.

Anak yang baik
Malam sebelum Firman Chandra Siregar, 24, terbang ke Beijing , beliau menghubungi rumahnya untuk meleraikan kebimbangan ibu bapa beliau di Indonesia yang mengambil berat tentang laporan keganasan di selatan Yunnan. Lulusan Institut Teknologi Bandung (ITB) ini (tengah) telah diterima dengan segera berkerja di syarikat minyak milik Amerika Schlumberger, selepas menerima ijazah.

Bapanya C.H Siregar menyifatkan Firman sebagai anak yang pintar dan berkata beliau menghadiri latihan orientasi di Malaysia sebelum pergi ke Beijing.

Teman lelaki dari Mongolia

Yue Wenchao

Berasal dari pedalaman Mongolia, Yue Wenchao, 26, berpindah ke Britain untuk mengikuti kursus Sarjana di University of Hull Business School. Beliau baru sahaja melawat teman wanitanya di Kuala Lumpur dan juga meletakkan gambar makan durian Musang King. Sebelum penerbangannya berlepas pada 12.41 pagi pada 8 Mac, Yue menghantar mesej kepada teman wanitanya di Weibo, "JUmpa kamu di Beijing!".

Buah Hati Keluarga

Hu Siwan

Hu Siwan, 3, atau Pan Pan (nama samaran) adalah buah hati ayahnya. Dia dilihat dilihat bergambar dengan bapanya, Hu Xiaoning, 34.

Ibunya Zhang Na, 34, sering meletakkan gambar Siwan dan ayahnya di laman Weibo. Salah satu daripada gambarnya berbunyi "Ayah, Pan Pan begitu bahagia mempunyai ayah seperti awak" dan "Marilah kita hidup bersama, bahagia selama-lamanya!". Keluarga ini tinggal di Beijing.

Alumni Sacred Heart

Goh Sock Lay

Dari Melaka, ketua pramugari Goh Sock Lay adalah alumni kelas Sacred Heart Convent Melaka tahun 1986.

Anak perempuannya berusia 14 tahun telah menangis tanpa henti sejak mengetahui tentang penerbangan MH370 yang hilang.

"Saya berharap berlaku keajaiban," kata bapa mertua Choi Tat Sang.

Pemegang biasiswa yang bercuti

Tony Tan Wei Chew

Pelajar Malaysia Tony Tan Wei Chew, 19, baru-baru ini lulus dari St Andrew's Junior College (SAJC) di Singapura dan sedang dalam perjalanan ke Beijing untuk bercuti dengan ayahnya Tan Ah Meng, 46, dan ibunya dari Taiwan Chuang Hsiuling, 45.

Bekas rakan sebiliknya, Aaron Quek memberitahu The Straits Times, Tan mempunyai rancangan untuk belajar di Amerika Syarikat selepas mendapat keputusan A-level awal bulan ini. Tan menerima biasiswa pada usia 15 tahun untuk belajar di Singapura.Dua adiknya tidak berada dalam penerbangan itu.

Lari Seketika Dari Jerebu

Wang Moheng

Hampir berusia dua tahun, Wang Moheng bercuti di Malaysia dengan keluarganya untuk lari seketika dari jerebu di Beijing. Wang Rui, bapa kepada Moheng, bekerja di Boston Consulting Group, sebuah syarikat Amerika di Beijing manakala ibunya Jiao Weiwei, bekerja di sebuah syarikat perisian China. Ibu bapanya juga berada di dalam pesawat.

"Mereka telah memberitahu ibu bapa lain di pusat jagaan harian Moheng: Kami mahu lari dari udara yang teruk di Beijing untuk seketika," bapa kepada rakan bermain Moheng, Xie Yongzhen memberitahu New York Times.

Mencari kehidupan baru di Eropah

Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 18, adalah salah seorang daripada dua rakyat Iran menaiki kapal MH370 dengan pasport palsu, menimbulkan syak wasangka pada peringkat permulaan yang mengaitkan unsur keganasan untuk kehilangan pesawat. Tetapi remaja dari Karaj, Iran ini didapati telah mencari satu kehidupan baru di Eropah dan berharap untuk bersama dengan ibunya di Jerman. Dia juga menyiarkan di Facebook tentang "perasaan teruja" apabila tiba di Kuala Lumpur dua minggu sebelum menaiki MH370.

Minda cemerlang

Guan Huajin

Anak kelahiran Pulau Pinang, Guan Huajin adalah salah seorang daripada 20 pekerja (12 rakyat Malaysia dan lapan dari China) syarikat berasaskan teknologi, Austin Freescale Semiconductor, yang mana kebanyakan mereka adalah jurutera terkemuka yang sedang dalam perjalanan ke Beijing atas urusan kerja.

Guan, 34, telah berkahwin dan mempunyai dua anak berusia empat tahun dan satu setengah tahun dan menetap di Kuala Lumpur.

Warga Amerika Yang Menyenangkan

Philip Wood

Satu-satunya warga Amerika di atas kapal, Philip Wood merupakan eksekutif IBM dari Texas yang pergi ke Beijing untuk perniagaan.

Bapa kepada dua anak berusia 51 tahun ini adalah lulusan Oklahoma Christian University tahun 1985 dan digambarkan di Facebook universiti itu sebagai seorang yang "lembut, baik hati, mempunyai citarasa hebat dalam muzik dan seni."

Ibunya, Sandra Wood memberitahu USA Today bahawa hatinya sering berkata "Philip akan sentiasa bersama Tuhan."

Penumpang No 57

Suhaili Mustafa
Suhaili Mustafa dari Shah Alam merupakan seorang lagi jurutera yang menuju ke Beijing untuk bekerja. Pada hari kehilangan MH370, bapa saudaranya yang merupakan Ketua Polis Kuching ASP Roslan Bek, berkata beliau dimaklumkan oleh kakaknya yang Suhaili adalah penumpang No 57 dalam senarai yang dikeluarkan oleh MAS. Bekas rakan universitinya Airin Diana di Universiti Purdue di Amerika Syarikat menyifatkan Suhaili sebagai seorang yang sangat ceria dan pelajar cemerlang dalam laman web Pray for MH370.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved