Operasi SAR Diteruskan Walau Selepas Hayat Kotak Hitam Berakhir - Hishammuddin

on Saturday, 22 March 2014

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada sidang media mengenai MH370 di Hotel Sama Sama di Sepang, Jumaat. Turut sama Wakil Khas Perdana Menteri Malaysia ke China Tan Sri Ong Ka Ting (kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kiri).
-fotoBERNAMA

SEPANG: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 tetap diteruskan walaupun selepas 30 hari, iaitu tempoh kotak hitam bertahan, kerana ada teknologi lain yang boleh digunakan untuk usaha itu.

Berdasarkan maklumat pasukan Perancis yang terlibat dalam pencarian pesawat Air France 447 yang mengambil masa dua tahun, beliau berkata ada teknologi yang boleh digunakan dalam operasi itu selepas 30 hari.

Beliau menegaskan bahawa pencarian pesawat itu adalah usaha yang berpanjangan.

"Kita akan teruskan, kita masih bersemangat untuk mencari dan menyelamat (pesawat itu)," katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan terkini pencarian MH370 di sini, Jumaat.

Namun, beliau terus berharap dan berdoa agar dapat pesawat itu dapat ditemui sebelum tempoh 30 hari.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa menuju ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini pada 12.41 pagi 8 Mac.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Pasukan Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA), yang diketuai Jean Paul Trodec, tiba di sini pada Isnin untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat MH370 dengan tumpuan di dasar laut.

Menurut BEA kotak hitam pesawat Air France 447 yang terbabit dalam nahas udara pada 2009 hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu.

Kawasan pencarian MH370 kini diperluaskan meliputi kawasan di barat Malaysia termasuk Lautan Hindi setelah pesawat itu melencong dari laluan asal selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu.

Menurut satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.

Usaha pencarian kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand serta koridor selatan yang meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Hishammuddin berkata Malaysia sedang berbincang dengan pakar dari Perancis tentang keperluan yang diperlukan bagi penggunaan teknologi selain dari kotak hitam.

Katanya beliau juga menghubungi pemimpin beberapa negara yang mempunyai teknologi 'pinger locator hydrophones' yang digunakan oleh pasukan penyiasatan Perancis bagi mengesan kotak hitam Air France 447.

"Hanya negara tertentu yang mempunyai keupayaan itu dan saya telah menghubungi pemimpin negara-negara berkenaan mengenai kemungkinan mendapat peluang dan kesempatan untuk menggunakan teknologi itu," kata beliau.

Mengenai perkembangan terbaharu imej satelit yang mencerap dua objek di selatan Lautan Hindi, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata setakat 5.40 petang tadi, tidak ada sebarang penemuan positif oleh pihak berkuasa Australia.

Sambil menggambarkan imej objek itu 'seperti tompokan di lautan', beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa pakar-pakar dapat membezakan tompokan di lautan daripada yang lain.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved