Ngeri, suami isteri mati ditetak bertubi-tubi

on Friday 28 March 2014


MANJUNG – Sepasang suami isteri ditemui mati dengan kesan tetakan di beberapa bahagian badan di rumah mereka di Kampung Cina dekat sini awal pagi ini.
Mangsa, M. Muniandy, 30, dan isteri, A. Kaliammal, 37, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah berkenaan pada pukul 1.50 pagi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, siasatan pihaknya mendapati berlaku pergaduhan di dalam rumah berkenaan sebelum pasangan itu ditemui mati.
Menurut beliau, polis yang dimaklumkan oleh pemilik rumah berkenaan bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mayat kedua-dua mangsa.
“Pasangan suami isteri itu dipercayai diserang menggunakan senjata tajam oleh lebih daripada seorang suspek.
“Kedua-dua mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap mengalami pendarahan teruk di beberapa bahagian badan seperti leher dan lengan ekoran diserang dan ditetak secara bertubi-tubi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.
Jaafar berkata, anak angkat lelaki pasangan itu yang berusia dua tahun bagaimanapun tidak dicederakan oleh penjenayah terbabit dan dia yang mengalami masalah penglihatan ditemui sedang nyenyak tidur di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.
“Kita sedang berusaha mengesan ibu kandung kepada bayi itu dan dia kini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan terhadap Muniandy, lelaki itu merupakan penagih dadah dan mempunyai rekod dikehendaki pada tahun lalu selain sembilan rekod jenayah lampau melibatkan kes pecah rumah dan samun berkumpulan.
Katanya, pasangan itu telah tinggal di rumah berkenaan sejak Disember tahun lalu dan pihaknya kini sedang menyiasat motif sebenar pembunuhan tersebut.
“Tiada sebarang senjata tajam ditemui di rumah itu malah tiada laporan kehilangan barangan milik mangsa dilaporkan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6299222,” tambahnya, --Utusan Malaysia.
sumber: http://todaynews-online.blogspot.com/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved