Kassim Ahmad mengaku tidak bersalah tuduhan menghina agama Islam

on Friday 28 March 2014


Bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad mengaku tidak bersalah hari ini di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya terhadap dua pertuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama.

Kassim, 81, didakwa melakukan perkara itu dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang, di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8 di sini pada 15 dan 16 Feb lepas.

Bagi pertuduhan pertama Kassim didakwa membentangkan satu skrip ucapan bertajuk 'Ucapan kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang' yang didakwa menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara mencemuh amalan yang berhubungan dengan Islam.

Bagi pertuduhan kedua beliau didakwa membentangkan skrip ucapan yang sama yang didakwa menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, dengan mengingkari atau melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti melalui Fatwa iaitu Fatwa-Fatwa Wilayah Persekutuan berkenaan golongan antihadis.

Kassim dituduh mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 9 akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Syarie Ummamuddin Yunus menetapkan 7 April ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Kassim diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, dan beliau membayar ikat jamin itu.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syariah Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-Astro Awani
sumber: http://beritasini.blogspot.com/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved