India hargai cara Malaysia kendali tragedi MH370

on Friday 28 March 2014


SUBANG - Kerajaan India menzahirkan penghargaan kepada Malaysia berhubung caranya mengendalikan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, yang disifatkannya sebagai "tugas amat penting".

Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, T. S. Tirumurti berkata adalah penting untuk menghargai peranan kerajaan Malaysia dalam insiden luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata demikian pada majlis perpisahan untuk pesawat India, C-130J, satu daripada dua pesawat dihantar kerajaan India untuk menyertai misi mencari MH370, di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.

"Kami semua memahami kesukaran dihadapi kerajaan Malaysia sejak dua minggu lepas atau lebih. Presiden India juga telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja menzahirkan rasa simpati dan takziah, tetapi juga penghargaan kepada kerajaan Malaysian bagi segala usaha dilakukan mereka," katanya.

India menghantar dua pesawat peninjau maritim, P8-I daripada Tentera Laut India dan C-130J daripada Tentera Udara India, untuk menyertai misi mencari pesawat MAS itu yang hilang di Lautan Hindi.

Bagaimanapun, tugas pesawat C-130J telah selesai dan majlis hari ini diadakan untuk mengucapkan selamat jalan kepada kru dan pesawat itu yang berlepas pulang ke India.

Bagi P8-I, tugasnya masih belum berakhir dan sedang menunggu kebenaran daripada pihak berkuasa Australia untuk menyertai misi mencari pesawat itu di perairan Perth, Australia.

Tirumurti berkata MAS juga amat sensitif terhadap keperluan lima warganegara India yang merupakan penumpang MH370.

Beliau berkata, beliau dan pegawai di Suruhanjaya Tinggi India, telah bercakap dengan anggota keluarga lima penumpang itu setiap hari.

"Anggota keluarga, sama ada di India atau Malaysia, semua mereka telah dijaga dengan baik oleh Malaysia Airlines, dan kami amat berterima kasih," katanya dan menurutnya anggota keluarga berkenaan berdepan waktu amat sukar lebih daripada dua minggu.

Terdapat lima warganegara India dalam pesawat Boeing 777-200ER yang hilang daripada skrin radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam, dalam penerbangan ke Beijing.

Menurut Tirumurthi, anggota keluarga dua daripada penumpang warga India itu masih berada di Malaysia manakala lainnya telah pulang ke India.

Sementara itu, Penasihat Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi India Kol Praveen Chabbra berkata Tentera Udara India mendapat kerjasama padu daripada pusat penyelarasan Malaysia.

"Tentera Udara India dan Malaysia berhubung secara terus dalam penyelarasan operasi SAR (mencari dan menyelamat) dan (kami) mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada pihak Malaysia.

"Saya boleh katakan bahawa keyakinan saya adalah berdasarkan ikatan yang terjalin antara kedua-dua angkatan tentera, dan sokongan padu daripada kerajaan Malaysia yang menyelaraskan misi SAR secara profesional," katanya.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah berlepas sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari melibatkan pelbagai negara digerakkan untuk mencari pesawat itu, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya di kawasan darat dan laut di barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dikesan melencong daripada laluan biasa dan terbang selama tujuh jam dengan sistem komunikasinya dimatikan.

Susulan analisis pada data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom (UK), Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan MH370 telah terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, selatan Perth, Australia.

Pada Isnin malam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi", yang tidak mempunyai tempat untuk mendarat.

Sementara itu dalam sidang akhbar hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan misi mencari MH370 diperhalusi dengan pasukan penyiasatan antarabangsa bagi mengecilkan kawasan pencarian, dan bagi memperincikan maklumat berhubung laluan penerbangan MH370. - Bernama
sumber; http://todaynews-online.blogspot.com/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved