Sleeq Bakal Tamatkan Zaman Bujang Hujung 2014

on Saturday, 25 January 2014


AHLI kumpulan Sleeq, Alyph dan Syarif bakal menamatkan zaman bujang mereka pada penghujung tahun ini. Khabar gembira ini dikongsi mereka ketika GUA bertemu dengan mereka di Majlis Pelancaran Drama Muzikal Sleeq di Tune Hotel Downtown Kuala Lumpur pada Khamis.

Melangsungkan pertunangan pada Mei tahun lalu, Alyph memilih September ini untuk diijabkabul dengan gadis yang bekerja sebagai guru di Singapura bernama Azzah Fariha.

“Dia berusia 27 tahun. Insya-Allah kami bakal berkahwin pada September ini. Kami bakal membuat majlis secara besar-besaran kerana kedua-dua belah pihak keluarga kami mempunyai bilangan saudara marayang ramai,” ujar Alyph.

Berlainan pula dengan Syarif, dia masih belum menetapkan tarikh untuk menamatkan zaman bujangnya, namun dia meletakkan sasaran sebelum hujung tahun ini. Syarif telah melangsungkan pertunangan pada penghujung 2011 bersama Malaque Mahdaly, mantan peserta Singapore Idol musim ketiga.

“Saya sedang melakukan persiapan perkahwinan. Dia juga berusia 25 tahun, seusia dengan saya. Saya telah mengenalinya selama lebih kurang empat tahun. Kini dia bekerja sebagai chef pastri di Singapura. Saya dan Alyph teruja untuk menempuhi fasa baru bergelar suami kelak,” ujar Syarif.

Ketika ditanya adakah tidak terlalu awal untuk mereka mendirikan rumah tangga sedangkan kerjaya mereka sedang berkembang maju di Malaysia, Sleeq ada penjelasan tersendiri.

“Kami rasakan tidak. Perkahwinan adalah sesuatu perkara yang baik. Apa yang penting, kami boleh mengimbangi antara kerjaya dan keluarga,” tutur Alyph.

Persiapan AJL

Dalam pada itu, mereka kini sedang melakukan persiapan untuk menghadapi persaingan dalam Anugerah Juara Lagu 28 (AJL 28) yang bakal berlangsung pada 26 Januari 2014, 9.00 malam di Stadium PutraBukit Jalil, Kuala Lumpur. Sleeq bakal mempertaruhkan lagu ‘Sahabat’ bersama Najwa Latif dan Syamkamarul.

“Kami bertiga telah mula berlatih bermula Rabu lalu. Setakat ini, AJL 28 merupakan pentas terbesar dalam karier Sleeq. Kami bersyukur dapat sampai sehingga ke peringkat akhir dan kami harap semua terhibur dengan persembahan kami nanti,” ujar Syarif mengakhiri perbualan.
Sumber: GUA
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved