Lee Chong Wei terus bertemu Wong Mew Choo dan anak mereka, Kingston Lee sejurus selepas menjuarai kejohanan Terbuka Malaysia buat kali ke-10 di Stadium Putra, Bukit Jalil, kelmarin.
KUALA LUMPUR - “Ramai tidak tahu, saya suruh isteri (Wong Mew Choo) dan anak kami tinggal di rumah ibu mertua sepanjang Terbuka Malaysia berlangsung kerana saya mahu bersendirian," itu antara pendedahan Datuk Lee Chong Wei ketika bercerita mengapa dia mengambil keputusan hendak menggantung raket secara mengejut.
Jaguh No. 1 dunia itu mendedahkan, dia terpaksa melakukan pengorbanan yang mungkin ‘menguris’ hati isterinya dalam usaha merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia ke-10.
"Hanya semalam (kelmarin, selepas kejohanan) saya berkesempatan duduk dan meminta maaf kepadanya (Mew Choo) kerana tidak dapat bersama dan menjenguk Kingston.
“Tumpuan saya hanya untuk menjuarai Terbuka Malaysia kali ke-10. Saya bernasib baik kerana isteri saya juga bekas atlet, jadi dia amat memahami saya," ujarnya lagi, yang muncul juara selepas mengalahkan Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-19, 21-9.
Kelmarin, Chong Wei mengejutkan peminat badminton tanahair apabila menyuarakan hasrat untuk bersara hujung tahun ini kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga.
Menghurai mengenai keputusan mengejutnya itu Chong Wei berkata, sudah tiba masanya dia menghabiskan lebih banyak masa bersama isteri, anak mereka serta ahli keluarganya yang lain.
“Memang saya ada masalah peribadi, terutama yang membabitkan isteri dan anak.
“Selama ini saya tidak ada masa untuk mereka, bila balik berlatih sudah penat," katanya.
Dia berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan XOX Berhad semalam.
Jelasnya, dia ada berbincang dengan Mew Choo tentang persaraan tersebut kerana hanya isterinya sahaja yang tahu dan memahami.
Dalam masa yang sama Chong Wei juga sempat meluahkan perasaan yang terpendam selama ini sejak menggalas tanggungjawab berat sebagai perseorangan No. 1 negara.
Menurut Chong Wei, ketika dia menang semua orang gembira tetapi selepas dia kalah orang bercakap perkara yang tidak baik tentangnya.
“Saya terima semua itu kerana saya seorang atlet.
“Apa pun, saya gembira dengan segala pencapaian yang diraih selama ini," katanya, yang akan menimbang semula keputusannya itu selepas tamat Piala Thomas, Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment