Tambang bas sekolah naik sehingga 30 peratus mulai tahun depan?

on Tuesday 5 November 2013




Kuala Lumpur: Persatuan pengusaha bas sekolah seluruh negara, mahu menaikkan kadar tambang sehingga 30 peratus mulai tahun depan.

Ada di antara ahli persatuan itu, sudah mengedar notis pemberitahuan mengenai kenaikan terbabit kepada ibu bapa murid dan pelajar.

Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof, mendakwa kenaikan tambang dibuat susulan peningkatan kos operasi, ekoran pelarasan subsidi menyaksikan harga diesel meningkat 20 sen awal September lalu.

“Sebelum ini, pengusaha menyerap kenaikan itu sementara menunggu keputusan permohonan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kami hantar Jun lalu.

“Namun, jika tiada sebarang keputusan hujung tahun ini, kami tidak dapat mengawal lebih 15,000 ahli di seluruh negara menaikkan sendiri kadar tambang yang dianggarkan sebanyak 30 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Rofik menunjukkan memorandum kenaikan tambang bas sekolah yang dihantar kepada kerajaan.

Akur kenaikan

Selain mahu kadar tambang di bandar dan luar bandar diselaraskan tanpa mengira bas berhawa dingin atau biasa, Mohd Rofik berkata, GPBSM turut menghantar memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, awal bulan lalu, antara lain mahu tambang dikaji setiap dua tahun.

“Memorandum itu juga menggesa kajian semula tambang dibuat berdasarkan harga semasa bahan api, alat ganti dan tayar yang jadi punca utama kos operasi naik, bukan harga diesel semata-mata. Kenaikan harga alat ganti dan tayar sentiasa memberi tekanan kepada pengusaha, seolah-olah dibiarkan tanpa kawalan,” katanya.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM), Amali Munif Rahmat, mendakwa pelarasan subsidi diesel menyebabkan pengusaha menanggung kenaikan kos bahan api antara RM400 hingga RM1,200 sebulan, bergantung kepada jenis bas digunakan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata ibu bapa terpaksa akur dengan kenaikan tambang kerana mereka memerlukan perkhidmatan itu, namun berharap kadar kenaikan tidak melampau.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved