Pistol tiruan nilai lebih RM25,000 dirampas

on Wednesday 9 October 2013

Mohd Shukri (dua, kiri) dan pegawainya menunjukkan pistol tiruan yang dirampas dalam serbuan di sebuah gerai di Petaling Jaya, Ahad lalu.

SHAH ALAM - Kegiatan dua lelaki menjual pistol 99 peratus menyerupai pistol sebenar akhirnya terbongkar, selepas polis menyerbu gerai tidak bernombor dalam sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya, Ahad lalu. 

Turut dirampas 21 pucuk pistol tiruan menyerupai pistol jenis Glock termasuk sepucuk dikenalpasti jenis gross bow dianggarkan bernilai lebih RM25,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Selangor menyerbu gerai terbabit kira-kira jam 5.30 petang. 

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki terbabit menjual pelbagai barangan yang diklasifikasikan sebagai menyalahi undang-undang. 

Menurutnya, ketika diserbu, kedua-dua suspek berusia 28 dan 42 tahun itu menafikan kegiatan haram mereka dan memaklumkan hanya menjual pistol mainan. 

"Namun, setelah diperiksa mereka sebenarnya menjual beberapa jenis senjata dan peralatan merbahaya. 

"Kita rampas antaranya 21 pucuk pistol tiruan, kelopak peluru, pisau, botol gas serta pelbagai barangan lain yang boleh diklasifikasikan sebagai berbahaya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Mohd Shukri berkata, siasatan awal menunjukkan kesemua barangan dirampas dibekalkan seorang lelaki warga Thailand dikenali sebagai 'Lan'. 

"Semakan mendapati harga pasaran bagi sepucuk pistol itu adalah RM1,200. Namun terdapat juga pistol tiruan yang dijual pada harga serendah RM100," katanya. 

Beliau berkata, kebanyakan senjata tiruan dirampas hampir sama dengan senjata api sebenar termasuk dari segi rekaan dan fungsi. 

Katanya, kedua-dua suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960. 


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved