Menjelang hari perkahwinan aktres jelita, Rozita Che Wan dengan pelakon kacak, Zain Saidin yang dijangka berlangsung hujung tahun ini, pasangan ini juga tidak terlepas daripada menerima dugaan apabila ada pihak yang cuba memporak-perandakan hubungan mereka.
Baru-baru ini, Zain berkongsi ada pihak yang cuba memburuk-burukkan kekasihnya dengan bercerita tentang kisah silam wanita tersebut dalam cubaan untuk menggagalkan perkahwinan mereka. Sehubungan dengan itu, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta tampil menempelak individu yang tidak bertanggungjawab itu.
“Saya terkejut dengan cerita ini sebab Zain tak cakap apa-apapun mengenai isu ini dengan saya. Dia tak pernah bercerita yang ada orang cuba mengata pasal saya. Apa yang penting, Zain lebih mengenali saya dan dia tidak perlu mendengar cakap orang luar,” ujar Che Ta ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Radio Bernama 24 di Pusat Konvensyen Shah Alam, petang Selasa.
“Bagi saya, semua orang akan lalui pengalaman ditikam dari belakang dan sudah menjadi perkara biasa ada orang yang mengata atau cuba memporak-perandakan hubungan kami. Apa yang boleh saya katakan, dia ada niat yang tidak baik dan seorang yang busuk hati. Mungkin agaknya dia dengki dengan kebahagiaan orang lain sebab itu dia bertindak sedemikian,” ujar Che Ta.
Menurut Che Ta lagi, perbuatan individu tersebut tidak sedikitpun merenggangkan hubungannya dengan bakal suami itu sehingga membawa mereka kepada perselisihan faham. Malah dugaan yang datang itu lebih menguatkan lagi kepercayaan dan kasih sayang antara mereka berdua.
“Kami tak pernah gaduh disebabkan perkara ini dan bagi saya, bodohlah jika kami bergaduh kerana orang luar. Saya tahu perangai Zain bagaimana dan dia seorang yang penyabar. Kepada individu terbabit, tidak payahlah nak memporak-perandakan hubungan saya dengan Zain kerana ia tak menjadi kudis pun pada hubungan kami. Apa yang penting, Zain percayakan saya dan dia tidak perlu percaya dengan cakap-cakap orang luar,” ujar duta produk Safi Rania dan Longevite ini mengakhiri perbualan.
Sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment