Tembak Polis: Analisis CCTV Bantu Jejaki Suspek

on Sunday 13 April 2014



Polis giat memburu seorang lelaki bertatu harimau di badannya dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) susulan kes dua anggotanya ditembak di Taman Lembah Maju, Ampang dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairuldin Saad berkata rakaman CCTV itu diperoleh daripada kedai berhampiran tempat kejadian.

"Suspek kelihatan jelas dalam rakaman itu, namun siasatan lanjut Unit Forensik perlu dilakukan bagi mengenal pasti identiti lelaki itu," katanya ketika ditemui pada program kepolisan komuniti di Ukay Perdana di sini, Sabtu.

Menurutnya identiti lelaki berusia 30-an itu akan didedahkan dalam masa terdekat dan polis tidak menolak kemungkinan dia terlibat dengan kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Kuala Lumpur.

Dalam insiden 10.30 pagi itu, Lans Koperal Lional Richard Jr, 26, dan Konstabel Zullfadzly Atlah, 28, anggota peronda Balai Polis Pandan Indah, cedera akibat ditembak seorang lelaki ketika membuat rondaan.

Suspek dan seorang lagi lelaki bersamanya melarikan diri selepas tiga das tembakan dilepaskan ke arah kedua-dua anggota polis itu, yang kini dalam keadaan stabil di Hospital Ampang.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved