Artis Kongsi Rasa Sedih Kematian Jeremy Little Di Mekah

on Thursday 10 April 2014


Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studios iaitu Jeremy Little meninggal dunia di Mekah pada Rabu ketika menjalani ibadah umrah.

Berita kematian penggiat filem bebas itu turut diumumkan oleh Mufti Ismail Menk dari Mekah menerusi Twitternya pada malam Rabu yang antara lain meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

Malah beberapa penggiat seni tempatan juga turut meluahkan rasa sedih mereka dengan kematian Jeremy, 31, yang juga penerbit filem Kil itu.

Penyanyi Mizz Nina dalam Instagram miliknya menulis agar keluarga Allahyarham reda dengan pemergian itu.

“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga keluarga Allahyarham sentiasa kuat dan sabar. Ia sesuatu yang dirahmati kerana Allahyarham meninggal dunia di Mekah,” kata Mizz Nina.

Pelakon Fazura dalam Instagram miliknya pada Rabu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham selain melahirkan rasa syukur kerana penggiat seni itu meninggal dunia di tempat yang menjadi idamaan kebanyakan umat Islam.

“Alhamdulilah… Jeremy adalah seorang hamba yang terpilih untuk meninggal dunia di bumi Mekah. Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarganya,” tulis Fazura.

Sementara itu Yuna pula meminta peminat-peminatnya menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

“Sahabat saya telah meninggal dunia di Mekah. Sila hadiahkan Al-Fatihah,” pintanya.

Penggiat seni, Jennifer Thompsom turut terkejut dengan berita kematian itu dan seperti orang lain yang turut meminta Al-Fatihah dihadiahkan.

Enam hari lalu Jeremy telah memuat naik gambar pemandangan di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah menerusi Instagram miliknya.

Menerusi gambar itu dia menulis: “Teknologi yang cantik dan tempat yang luar biasa. Subhanallah.”

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Jeremy antara individu yang disegani kerana pengaruhnya dalam memartabatkan muzik dan filem bebas.

Dia juga pernah menaungi beberapa kumpulan muzik antaranya SevenCollar T-Shirt, Estrella, Guba dan Lab The Rat.

Pada tahun lalu, filem Kil berjaya mendapat empat anugerah dalam Anugerah Skrin terbitan TV3, satu pencapaian yang membanggakan bagi mereka yang menghasilkan karya bebas.

mStar Online dimaklumkan satu majlis tahlil untuk Allahyarham akan diadakan di Masjid Asy-Syakirin, KLCC di sini selepas solat Maghrib pada malam Khamis (malam ini).
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved