MAS Sedia Bawa Keluarga Ke Australia Selepas Imej Disahkan

on Friday, 21 March 2014

Selamat Omar, 60, bapa kepada Mohd Khairul Amri Selamat, 29, salah seorang penumpang pesawat MH370, ketika di dalam bas untuk ke Cyberview Lodge Resort & Spa di Putrajaya malam Khamis bagi mendengar taklimat perkembangan terkini kehilangan pesawat tersebut sejak 8 Mac lalu. -fotoBERNAMA

SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) bersedia membawa keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 ke Australia jika dua objek yang dikesan imej satelit di selatan Lautan Hindi disahkan sebagai milik pesawat yang hilang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata kepentingan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu sentiasa menjadi keutamaan syarikat penerbangan nasional itu.

"Kami memang menjaga waris (para penumpang pesawat ini) dan seandainya pesawat dikesan berada berdekatan Australia, sudah pasti kami akan menguruskan usaha membawa waris ke sana," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media harian mengenai perkembangan terkini berhubung operasi mencari dan menyelamat pesawat itu di sini, yang turut dihadiri Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata di Canberra pada Khamis bahawa imej satelit menunjukkan dua objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat Malaysia itu yang hilang pada 8 Mac.

Ahmad Jauhari berkata MAS komited untuk memberikan maklumat yang tepat dan terkini, sehingga dua hingga tiga kali sehari, kepada semua keluarga penumpang.

Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa semua keluarga adalah yang pertama akan dimaklumkan sekiranya ada pengesahan mengenai imej-imej satelit atau sebarang perkembangan terkini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat itu, yang masuk hari ke-13 hari ini.

"Saya rasa berita tergempar yang boleh dipercayai berhubung imej satelit itu hari ini pasti berlegar dalam pemikiran keluarga.

"Saya rasa itulah yang akan menjadi perkara pertama yang akan kami sampaikan kepada keluarga apabila maklumat itu diterima," katanya sambil mezahirkan rasa simpatinya yang mendalam kepada keluarga berkenaan.

Beliau menyatakan bukan mudah untuk mengendalikan keluarga-keluarga yang dalam keadaan amat sedih, dan pihak berkuasa negara kini mempelajari cara menangani situasi itu daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA).

"Ini sangat sukar (untuk berurusan dengan pihak keluarga). Saya telah berbincang dengan pasukan Perancis yang perlu berurusan dengan keluarga para penumpang Air France 447 selama dua tahun selepas nahas itu (pada 2009)," kata beliau.

Pasukan BEA tiba pada Isnin untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat itu, dengan tumpuan carian di dasar laut.

Pada 2009, pasukan BEA terlibat dalam usaha mengesan Air France 447 yang terhempas dan mengorbankan kesemua 228 orang yang menaiki pesawat itu, dan kotak hitam pesawat itu hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu.

Hishammuddin berkata penyampaian maklumat yang tepat dan terkini kepada keluarga berkenaan juga menjadi keutamaan mereka, hingga mendorong kerajaan menghantar pasukan peringkat tinggi ke Beijing, China petang tadi.

"Wakil-wakil kerajaan Malaysia sudah pun menemui keluarga berkenaan yang diketuai utusan khas Perdana Menteri ke China (Tan Sri Ong Ka Ting).

"Pegawai Kedutaan China juga membantu dengan mengetuai taklimat untuk keluarga-keluarga dari China yang berada di Kuala Lumpur," kata beliau.

Pesawat 777-200ER itu, yang menuju ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pesawat itu dicari di Laut China Selatan namun kawasan pencarian diperluaskan dengan merangkumi sebahagian besar kawasan barat Malaysia, termasuk Lautan Hindi, apabila pesawat itu dipercayai melencong daripada laluan asal penerbangannya setelah seseorang secara sengaja mematikan sistem komunikasi pesawat, dan pesawat itu terbang untuk beberapa jam selepas itu.

Pencarian kini ditumpukan ke dua koridor - koridor utara yang merangkumi Kazakhstan, Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan yang merangkumi Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved