Hassan, Juara Imam Muda tegur Raja Bomoh Sedunia

on Saturday 15 March 2014


Hassan, Juara Imam Muda tegur Raja Bomoh Sedunia - Usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Bukan sahaja di kalangan pihak berkuasa dan masyarakat, malah kehilangan pesawat ini turut menarik perhatian Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP.

Jika Isnin lalu, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, menggunakan teropong buluh dan bubu mata pancing untuk mengesan pesawat terbabit, kali ini beliau kembali meraih perhatian ramai dengan menggunakan tikar terbang dan kelapa.

Walaupun ia adalah salah satu usaha Ibrahim membantu mengesan MH370, namun tindakannya itu mendapat kecaman dan kritikan hebat di kalangan masyarakat.

Malah, tidak kurang juga yang mengejek dan menyamakan aksi berkenaan dengan kisah tikar terbang dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Laksamana Do Re Mi sehingga terciptanya pelbagai 'parodi'.

Memandang serius mengenai tindakan sekumpulan bomoh itu, juara Imam Muda Musim Kedua, mengakui ianya jelas bertentangan dengan suruhan Nabi Muhammad SAW.

Menurut Imam Muda Hassan, walaupun menggunakan ayat-ayat al-Quran, tapi perbuatan menggunakan alat-alat bantuan seperti kelapa dan sebagainya adalah bertentangan dengan syariat.

"Perkara ini jelas tiada dalil daripada al-Quran dan Sunnah. Apa yang kita bimbangkan ialah masyarakat Islam itu sendiri dan bakal mengakibatkan fitnah yang besar apabila ramai yang terpedaya dengan kepercayaan khurafat ini.

"Apa yang lebih utama ialah menyedarkan umat Islam khususnya di Malaysia ini agar jangan terpedaya dengan apa yang diperkatakan bomoh berkenaan."

Menurut Hassan, kebanyakan bomoh menggunakan khidmat jin manakala para ulama menggunakan Al-Quran dan Sunnah dalam mencari penyelesaian.

"Jangan kita salah faham dengan penggunaan ayat Al-Quran walaupun bomoh menggunakannya. Rujuk dahulu kepada mereka yang lebih arif dan perlu faham 'asbab nuzul' (penurunan ayat) sebelum mengamalkannya.

"Bila melihat fenomena ini sehingga menjadi 'parody' filem P Ramlee, saya melihat perkara itu sebagai gambaran kewujudan 'dajjal' di mana boleh mengadakan apa yang tiada. Maka, penyelamat kita pada waktu itu tidak lain tidak bukan, iman dan takwa."

Jelasnya lagi, cara penggunaan bomoh inilah yang menyebabkan ALLAH SWT semakin murka, sedangkan kita sangat mengharapkan rahmat ALLAH dari-Nya ketika ini.

"Dengan rahmat ALLAH SWT akan adanya jalan keluar setiap kesukaran. Bagaimana kita nak Dia bukakan 'pintu keluar', sedangkan kita semakin tidak jumpa jalan keluar.

"Mungkin ALLAH SWT nak melihat sejauh mana kebergantungan kita kepada-Nya di saat ini. Maka, janganlah tertipu dengan perkara-perkara khurafat. Jagalah iman kita agar sampai satu ketika, kita tidak ditipu fitnah 'dajjal'.

"Firman ALLAH SWT dalam surah Al-An'am, ayat 21 : Dan siapakah lagi yang lebih aniaya daripada orang yang mengada-adakan perkara yang dusta terhadap ALLAH, atau yang mendustakan ayat keterangan-Nya? Sesungguhnya orang yang zalim itu tidak akan berjaya."
Sumber : Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved