Amran Ismail Nafi Menunjuk-nunjuk Bantu Keluarga Penumpang MH370

on Tuesday 25 March 2014


Amran Ismail buat amal kebajikan tanpa niat menunjuk-nunjuk.

Pelakon dan penyanyi Amran Ismail menganggap kerja amal dan bantuan yang diberikan kepada keluarga penumpang pesawat MH370 adalah atas rasa simpatinya terhadap insiden tersebut.

Amran, 28, berkata, dia tidak pernah terniat untuk menunjuk-nunjuk atau cuba mencari publisiti atas kebajikan yang dilakukannya itu.

"Beberapa hari selepas kejadian kehilangan MH370, saya ada pergi melawat mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas itu saya hanya salurkan bantuan kepada pihak tertentu untuk disampaikan kepada mereka.

"Biarpun hanya sekadar yang termampu, namun saya gembira jika dengan sumbangan sedikit itu boleh buat mereka tersenyum. Dalam pada itu juga, saya tidak lupa kepada pihak media yang turut bersama menyalurkan maklumat kepada masyarakat, tapi bukan sebab saya sengaja untuk meminta liputan daripada mereka," katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.

Amran berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gosip diruangan pojok sebuah akhbar mingguan yang mendakwa dia hanya menunjuk-nunjuk dan mencari publisiti dengan kebajikan yang dilakukannya.

Tambah Amran, kerja amal merupakan amalan yang sering dilakukannya bagi mengisi masa lapang.Katanya, bukan hanya selepas insiden kehilangan pesawat MH370, malah sebelum ini dia sering kali berkunjung ke rumah-rumah kebajikan untuk menziarah anak yatim dan orang tua.

"Saya bukan orang senang, ketika berada di kampung saya sudah diajar untuk buat kebajikan dan berkongsi rezeki yang kita ada kepada orang lain yang memerlukan.

"Jika tidak dengan wang ringgit sekalipun, saya akan datang menziarah mereka untuk bertanya khabar," katanya.

Dalam pada itu, Amran turut merancang untuk membuat satu projek amal bagi membuka peluang orang-orang lain yang ingin menghulurkan bantuan.

Bagaimanapun, dia akui risau perkara tersebut disalahertikan oleh pihak lain yang menganggap ianya hanya mencari publisiti.

"Insyaallah menjelang Ramadan nanti saya fikir untuk membuat satu projek membantu insan-insan yang memerlukan.

"Ramai orang di luar sana yang ingin membantu tetapi tidak tahu cara yang betul, namun behitu saya juga takut perkara ini akan timbul niat untuk bermegah atau riak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amran berkata, dia kini mahu dikenali sebagai Amrish sebagai nama komersil.

Katanya, ia sebagai semangat dan harapan baharu buatnya untuk tahun 2014.

"Ia gabungan nama saya dengan nama bapa, ini merupakan nama komersil untuk tahun baharu 2014 ini," katanya.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved