Salah seorang penduduk tersebut, Mustafa al-Balushi, yang mendiami sebuah rumah kecil berhampiran masjid itu, bakal menjadi seorang jutawan, selepas jawatankuasa yang menyelia program pembesaran masjid itu menganggarkan rumahnya yang hanya berukuran 120 meter persegi bernilai 8 juta riyal (RM7.02 juta).
Mustafa, seorang kakitangan kerajaan yang bertugas sebagai penghantar barangan dan sering mengalami masalah kewangan berkata, dia mewarisi rumah tersebut daripada bapanya.
"Bapa saya membeli rumah usang itu lebih 100 tahun lalu. Jawatankuasa yang menyelia projek pembesaran masjid itu memberitahu saya, rumah saya ini bernilai 65,000 riyal (RM57,045.3) bagi setiap satu meter persegi.
"Jika urusan jual beli ini menjadi kenyataan, kehidupan saya akan berubah.
''Saya bercadang untuk membeli sebuah rumah besar dan kereta. Semuanya berubah dalam sekelip mata dengan kuasa Allah SWT,'' jelas Mustafa.
Mustafa berkata, dia tetap merasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rumah tersebut dan berpindah ke kawasan lain.
"Sukar untuk melupakan kenangan indah tinggal di rumah ini. Setiap hari saya akan mendengar laungan azan.
''Tidak terkecuali juga, kami pasti akan terkenangkan suasana syahdu setiap kali tiba Ramadan dan hubungan kami dengan jemaah haji dan pelawat yang datang ke masjid ini. Wang tidak akan dapat menggantikan semua yang kami lalui selama tinggal di sini,'' katanya.
Seorang pemilik sebuah institusi hartanah, Abbas al-Tukhi berkata, lebih 12,000 keluarga kini menetap di sekitar kawasan pembesaran Masjidilharam dan mereka layak menerima pampasan.
"Kehidupan mereka bakal berubah dalam sekelip mata,'' katanya.
''Beberapa tahun lalu, golongan kaya pernah menetap di kawasan perumahan di sekitar masjid ini, namun mereka telah menjual rumah mereka dan berpindah ke kawasan lain, hanya segelintir penduduk masih dibenarkan tinggal di kawasan berkenaan,'' ujar Abbas.
Tambahnya, harga tanah di kawasan ini berbeza-beza mengikut keluasan dan kedudukan tanah itu dengan Masjidilharam, sebagai contoh jalan raya yang terletak berhampiran masjid berkenaan bernilai 90,000 riyal (RM78,985.80) bagi satu meter persegi.
"Jumlah wang pampasan yang terlalu tinggi akan menyebabkan berlaku ledakan besar dalam pasaran hartanah di Mekah. Harga tanah dan rumah termasuk kadar sewa dijangka meningkat sebanyak 30 peratus berikutan peningkatan harga hartanah di kawasan ini,'' katanya. - AGENSI
sumber:kezoom
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment