Begitu kata Jalal Yusof, 48, selepas isterinya Rossita Roslan, 42, bersama anak bongsu mereka Siti Norsyahira, 11, maut apabila PERODUA Myvi dinaiki bersama seorang lagi anak mereka, Siti Aishah, 16, melanggar sebatang pokok di Jalan Bukit Lintang, Ayer Molek, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, apabila kereta dipandu Rossita dari arah Persimpangan Bukit Lintang-Tiang Dua menghala ke Persimpangan Ayer Molek dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
Rempuhan mengakibatkan Rossita dan Siti Norsyahira meninggal dunia di tempat kejadian manakala Siti Aishah yang duduk di bahagian penumpang belakang parah dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Jalal berkata, ketika kejadian, isteri dan dua anaknya itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Telok Mas ke rumah ibu mentuanya di Duyong manakala dia menunggang motosikal.
“Ketika tiba di Bukit Larang, saya lihat cermin sisi namun kereta dipandu isteri tidak kelihatan sebelum saya mengambil keputusan menunggu mereka di hadapan rumah ibu mentua.
"Selepas 10 minit menunggu, saya hubungi telefon bimbit isteri tiga kali tetapi tidak berjawab. “Namun panggilan kali keempat dijawab seorang lelaki memaklumkan isteri terbabit kemalangan melanggar sebatang pokok,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
JALAL (kiri) bersama seorang ahli keluarga tidak dapat menahan sebak dalam kejadian meragut nyawa isteri dan anaknya, semalam.
Dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut apabila melihat keadaan isteri dan dua anaknya di dalam kereta berkenaan.
“Saya lihat Siti Aishah yang duduk di bahagian belakang dipercayai tercampak menghempap ibunya di tempat duduk pemandu, manakala Siti Norsyahira yang duduk di sebelah pemandu sudah tidak bernyawa.
“Saya menguatkan diri mengeluarkan anak bongsu dan meletakkannya di tepi kereta, manakala adik ipar membantu mengeluarkan Siti Aishah yang tidak sedarkan diri. Mayat isteri pula dikeluarkan pihak bomba,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyangka sikap Rossita yang tidak bercakap seminggu sebelum kemalangan dan tidak bersalaman dengannya ketika keluar rumah pagi itu seperti kebiasaan petanda isterinya akan meninggal dunia.
Saksi Muhammad Zainurin Md Daud, 24, yang menjadi individu pertama tiba di lokasi berkata, dia yang baru membuka kedai untuk memulakan perniagaan di kawasan berhampiran dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Apabila keluar dari kedai saya lihat kereta dinaiki mangsa merempuh sebatang pokok, disebabkan masih gelap saya gunakan lampu suluh untuk melihat keadaan mangsa sebelum terlihat penumpang di bahagian belakang melambai tangan meminta tolong.
“Penumpang itu menghempap pemandu, manakala pemandu dan seorang kanak-kanak di tempat duduk hadapan tidak sedarkan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
sumber; http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment