
Stesen radio Red FM dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan, Pahang mengadakan sebuah program khas iaitu 'Back To School Initiative' bagi membantu seramai 979 pelajar sekolah rendah di negeri tersebut yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Program yang bakal berlangsung sehingga 30 Januari itu menyasarkan untuk membantu para pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan.
"Pelajar ini juga terdiri daripada mereka yang memerlukan sokongan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut dan beg sekolah serta buku rujukan," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Red FM kepada mStar Online di sini, Jumaat.
Projek tersebut adalah daripada seorang usahawan, Mahadza Kamal Jais selepas menyaksikan sendiri bencana alam tersebut dan mencari jalan bagi membantu kanak-kanak di negeri itu untuk meneruskan persekolahan mereka.
"Dia sedar bahawa ada sebahagian daripada keluarga ini berhadapan dengan masalah kewangan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
"Kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan dan Pengurus Bahagian Sekolah akhirnya terhasil untuk mendapatkan pelajar-pelajar ini," kata kenyataan itu.
Sementara itu, penyampai segmen Really Really Breakfast Show Red FM, Papi Zak berkata, pihak stesen itu berbangga dapat menyertai projek tersebut agar kanak-kanak tersebut tidak berasa tersisih ekoran kejadian berkenaan.
Malah kata Papi Zak, sambutan daripada pendengar yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir amat menggalakkan dan bukti masyarakat Malaysia adalah warga prihatin.
"Sumbangan yang diberikan kepada kanak-kanak ini adalah bukti bahawa ramai di luar sana mengambil berat mengenai mereka," katanya.
Jelas Papi Zak, para pendengar masih boleh menderma barangan seperti beg sekolah, kasut sekolah, pakaian seragam serta kelengkapan lain berkaitan selain bantuan kewangan kepada mangsa.
Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh melayari www.red.fm/community-events/back-to-school-initiative/
sumber:http://mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment