Utamakan Anak, Aishwarya Rai Belum Pasti Untuk Kembali Ke Layar Perak

on Sunday 20 October 2013


Spekulasi mengenai dirinya yang dikatakan akan kembali ke layar perak, membuatkan peminat teruja menanti kemunculan terbarunya di layar lebar.

Aishwarya Rai Bachchan bagaimanapun, masih enggan memberikan kata putus, sebaliknya mengakui menikmati setiap detik meladeni anak sulungnya, Aaradhya yang bakal menjangkau usia 2 tahun, November depan. “Saya tidak sedar masa berlalu begitu pantas kerana terlalu sibuk menguruskan anak, selain memenuhi komitmen profesional,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Turut ditanya spekulasi mengenai dirinya yang dikatakan akan kembali beraksi dalam filem terbitan Prahlad Kakkar, Happy Anniversary di samping suaminya, Abhishek Bachchan, Aishawarya, 39, bagaimanapun masih berteka-teki.

“Ramai yang cuba mendekati, termasuk pengarah yang pernah bekerjasama sebelum ini. Namun, buat masa sekarang saya masih belum mampu memberikan komitmen.

“Prahlad Kakkar ialah insan yang bertanggungjawab memperkenalkan saya kepada dunia lakonan. Dia seperti keluarga, malah saya pernah berjanji untuk berlakon dalam filem pertama terbitannya.
“Dia mempunyai skrip yang berkisar mengenai satu pasangan dan watak itu serasi untuk saya dan Abhishek, tetapi setakat ini belum ada sesuatu yang pasti,” katanya.

Berterima kasih atas pengalaman yang dilaluinya, semua itu kata Aishwarya, menjadi pencetus yang membentuk keyakinan untuk berdepan dengan apa saja dugaan yang datang.

Sudah lunak menerima apa saja pandangan sejak menembusi industri perfileman selepas bergelar Ratu Cantik Dunia pada 1994, Aishwarya terbuka untuk berkongsi transisi dirinya meskipun akur dengan persepsi masyarakat.

“Pengalaman menyumbang faktor terbesar. Saya hanya seorang penuntut, tetapi sekelip mata nasib saya berubah apabila dinobatkan sebagai Ratu Cantik Dunia seterusnya diberi ruang untuk berdiri di platform umum.

“Apa saja pengalaman yang saya ada ketika itu? Padanan jeans dan baju T menjadi rutin gaya seharian. Malah saya juga beralih daripada aliran sains kepada kejuruteraan justeru, fesyen adalah perkara terakhir yang terlintas di minda.

“Tetapi sekelip mata, semua itu harus pantas saya kuasai. Saya bernasib baik kerana mempunyai beberapa teman pereka fesyen yang membantu penampilan pada permulaan bertapak.

“Secara peribadi, saya selesa menyarung pakaian tradisional malah berbangga berkongsi keindahannya di pentas dunia,” katanya.

Namun kemunculannya di Cannes, membawa perubahan besar kepada Aishawarya. Media cetak dan elektronik bagaikan mendedikasikan satu slot khas yang memberi penekanan kepada aspek penataan gaya.

“Sebelum ini, gaya seseorang selebriti bergantung kepada pilihan peribadi. Meskipun maklum akan menjadi sorotan kamera setiap kali melangkah ke permaidani merah, namun aspek penataan gaya tidak terlalu ditekankan.

“Bagaimanapun, selepas saya ke Cannes dan meraih perhatian luar biasa media massa, ia seolah-olah memberi persepsi baru kepada peminat.

“Di luar sana, terlalu ramai yang memberikan pandangan sama ada secara profesional atau sebaliknya. Mereka seperti menerima platform baru untuk melontarkan pendapat, malah ada ketika terlalu kejam terutama menerusi internet.

“Dunia menjadi semakin kecil dan sebagai figura awam, perhatian yang diberikan itu membantu melonjakkan industri fesyen ke tahap baru. Seperti didorong, aspek penataan gaya turut menerima lonjakan baru,” katanya.

Hentikan spekulasi

Mengerti kehidupan peribadi yang sentiasa diintai umum, Aishwarya berharap media memberinya ruang untuk menikmati hidup tanpa didesak spekulasi yang cuba memancing kesabarannya.

Memohon dihentikan spekulasi dirinya kini hamil anak kedua, Aishwarya berkata, apabila masa itu tiba dia akan berterus-terang kepada semua.
“Saya tahu apa yang ingin ditanyakan. Apabila tiba masanya nanti, saya akan memberitahu semua. Sebelum tiba masanya, tolong berhenti membuat spekulasi,” katanya.

Diperkenalkan menerusi filem, Iruvar sebelum meraih kejayaan komersial bersama Jeans, Aishwarya berkata, bergelar ibu memberikannya rahmat yang sulit digambarkan dengan perkataan.

“Kehidupan sentiasa menuntut perubahan. Setiap pengalaman yang dilalui menyumbang kepada perubahan dan kematangan, membentuk saya menjadi manusia yang lebih baik.

“Bergelar ibu adalah satu rahmat dan saya menghargai hadiah paling berharga yang diberikan Tuhan ini. Aaradhya ialah hadiah paling istimewa daripada Tuhan, membuatkan saya berasa bertuah diberi peluang melalui pengalaman itu,” katanya.
Bergelar ibu juga membentuk Aishwarya menjadi seorang yang berfikiran jauh dan sejak awal lagi, dia bertekad untuk menyimpan sel stem daripada darah tali pusat anaknya.

“Saya sentiasa tertarik untuk mengetahui kebaikannya. Disebabkan itu, saya sentiasa tampil untuk menyumbang, mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkara ini,” katanya.



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved