Google Malaysia, bukan pejabat syarikat biasa

on Monday 30 September 2013


Banyak syarikat melabur jutaan ringgit bagi promosi, pemasaran dan penyelidikan tetapi banyak juga yang terlupa, aset paling penting dalam sesuatu perniagaan adalah kakitangan syarikat itu sendiri.

Menyedari hakikat itu, Google, syarikat gergasi internet berpusat di Amerika Syarikat meletakkan kegembiraan pekerja mereka sebagai fokus utama.

Pengarah Google Malaysia Sajith Sivanandan berkata, kejayaan Google hari ini adalah kerana budaya syarikat itu yang memberi penekanan kepada pekerjanya.

"Google ada beberapa prinsip untuk pastikan kami sentiasa keluarkan produk baru yang inovatif.

"Antaranya, jurutera Google diberi lesen untuk mengejar impian mereka dengan mengambil 20 peratus daripada masa kerja untuk tumpu kepada projek sampingan sendiri yang boleh beri manfaat kepada syarikat dan pengguna," katanya dalam taklimat semasa lawatan media ke pejabat baru Google Malaysia di Quill 7, KL Sentral, baru-baru ini.

Sajith berkata, antara produk yang lahir daripada projek sampingan itu adalah Google Mail dan Google Now.

Kebebasan penting dalam bekerja
Google yang kini mencecah usia 15 tahun bukan seperti syarikat lain dan cara pemilihan pekerjanya juga membuktikan hakikat itu.

“Bila mencari bakat baru, kami nak tahu sama ada mereka ada keinginan untuk buat perubahan tapi dalam masa sama tahu bagaimana untuk bergembira," katanya.

Menurut Sajith, pelaburan yang dibuat Google di pejabatnya menunjukkan betapa pekerja adalah aset penting kepada syarikat itu.

Antara kemudahan utama di pejabat Google Malaysia adalah Gerai Gugel yang menyediakan makanan percuma untuk pekerja dan bilik permainan untuk pekerja bergembira dan menghilangkan tekanan.


Bilik permainan dan kerusi urut turut disediakan untuk menghilangkan tekanan kerja.


“Kami tak anggap, contohnya, penyediaan makanan percuma kepada pekerja sebagai kos tetapi ianya adalah pelaburan kerana semua orang tahu makanan yang baik boleh menaikkan moral pekerja,” katanya.


Google menyediakan makanan percuma sepanjang hari untuk pekerjanya di kafeteria yang dinamakan Gerai Gugel.

Keistimewaan diberikan Google kepada pekerjanya ternyata memberi pulangan baik apabila syarikat itu berjaya melakukan pelbagai perkara yang sebelum ini dianggap mustahil, seperti projek kereta tanpa pemandu Google dan siaran langsung penerjunan payung terjun dari angkasa di YouTube pada 2012.

“Jika anda beri kebebasan kepada orang lain, mereka akan tunjukkan kuasa luar biasa,” katanya.

Pejabat direka khas untuk naikkan produktiviti
Meletakkan keseronokan dan keselesaan pekerja sebagai perkara utama, pejabat Google Malaysia mengambil masa beberapa bulan untuk rekaan serta maklum balas sebelum ianya mula diubahsuai bagi menepati prinsip kerja Google.

Sajith berkata, reka bentuk semua pejabat Google telah dibuktikan melalui kajian boleh meningkatkan produktiviti pekerja.

Google membuka pejabat di Malaysia secara rasmi pada Januari 2011 sebelum berpindah ke lokasi baru tersebut, bulan lalu.

Beberapa bilik di pejabat Google Malaysia turut dinamakan dengan nama tempatan seperti Nasi Lemak, Ikan Bilis dan Rilek Ah.

Walaupun dibina dengan unsur tempatan, pejabat Google Malaysia tetap mengikut prinsip Google di seluruh dunia seperti ruang terbuka tanpa banyak dinding dan aliran tenaga yang bebas.

Menurut Sajith, pekerja juga diberi kebebasan dari segi masa bekerja kerana apa yang penting bagi syarikat itu adalah hasil kerja dan bukan tempoh waktu bekerja.



Pejabat Google Malaysia di KL Sentral direka dengan unsur tempatan tetapi mengekalkan prinsip utama syarikat itu yang memberi penekanan kepada kegembiraan pekerja.

Namun, di sebalik cara kerja fleksibel, Sajith menekankan, syarikat itu mempunyai budaya pencapaian tinggi dalam bekerja.

“Selepas 15 tahun beroperasi, Google mencatat perolehan US$14.11 bilion (RM45.52 bilion) bagi suku kedua tahun ini, peningkatan 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pencapaian mengagumkan ini hanya berlaku kerana budaya kerja kami yang unik,” katanya.


Sumber : Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved