GEORGETOWN: Kira-kira 200 penduduk diarah mengosongkan rumah masing-masing selepas stor simpanan bahan kimia terbakar melepaskan gas toksik di Kampung Pisang, Ayer Itam di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, stor simpanan hidrogen sulfurik di kawasan kampung terbabit terbakar dan menghasilkan bau kuat yang membuatkan penduduk panik seketika. Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri Azmi Tammat berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.35 malam mengatakan ada kebakaran berlaku di kampung terbabit.
"Selain itu penduduk turut mendakwa sakit tekak, sesak nafas serta pedih mata dan pemeriksaan kita mendapati ia berlaku disebabkan gas toksik yang dihasilkan akibat kebakaran sebuah stor penyimpanan bahan kimia.
"Siasatan juga mendapati yang pemilik stor berkenaan menyimpan bahan kimia terbabit di situ dan ia akan dieksport ke Indonesia," katanya.
Menurutnya, penduduk diarahkan meninggalkan rumah masing-masing buat sementara waktu sehingga pihaknya memastikan gas terbabit dikawal sepenuhnya.
"Pasukan Hazmat sedang melakukan siasatan dan kita juga akan memastikan gas terbabit dapat dikawal sepenuhnya sebelum membenarkan penduduk pulang ke rumah masing-masing," katanya.
Sehingga jam 1 pagi tadi, pasukan bomba masih menjalankan operasi untuk memastikan kawasan persekitaran kampung itu bebas daripada gas toksik terbabit.
Sumber : Harian Metro
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment