Wala Dihimpit Dilema

on Wednesday, 3 July 2013


KUMPULAN Wala beraksi di pentas final Raja Lawak 7 bersama Johan (kiri) dan Zizan (tengah, duduk).

LAWAK yang konsisten dan cukup mencuit hati telah menjulang kumpulan Wala sebagai juara program Raja Lawak musim ketujuh.

Kumpulan yang dianggotai oleh Wan Mustapha Muntek, 30, dan Walawd Parman, 28, berasal dari Sabah itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi kemenangan.

Menewaskan tiga kumpulan lain iaitu Sakan, Bora dan Gamat dengan mendapat sebanyak 50 peratus undian daripada penonton, kumpulan Wala sememangnya layak bergelar juara.

“Kami tidak jangka akan sampai ke final dan menjadi juara. Memang terkejut tetapi dalam masa yang sama gembira kerana selepas berhempas pulas mencari idea, lawak kami dihargai penonton,” ujar Wan.

Kemenangan itu juga secara automatik melayakkan mereka menyertai program Maharaja Lawak Mega yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Meskipun teruja dengan masa depan mereka dalam bidang seni, tetapi mereka masih berat hati untuk bergelar artis sepenuh masa dan meninggalkan kerjaya sebagai anggota polis di Sabah.

“Menyertai program Maharaja Lawak Mega adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Buat masa ini, kami tidak boleh beri kata putus tentang masa depan dalam bidang seni kerana kami juga sayangkan kerja sebagai anggota polis.

“Perkara ini harus difikir masak-masak, mungkin untuk Maharaja Lawak Mega, kami akan mengambil cuti tanpa gaji seperti yang kami lakukan untuk menyertai program Raja Lawak.

“Seterusnya, kami akan lihat dahulu keadaan. Memang seronok jadi artis kerana saya juga suka berlakon, tetapi sekarang kami tidak boleh berfikir apa-apa,” ujar Wan yang akan mendermakan sebahagian wang kemenangan ke rumah anak yatim di Tuaran, Sabah.

Selain itu, Wan juga telah menyimpan niat untuk menghantar ibu bapanya menunaikan umrah jika bergelar juara, manakala, teman seperjuangannya, Walawd pula akan menggunakan wang kemenangannya untuk melangsaikan segala hutangnya.

sumber : http://www.kosmo.com.my

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved