Selesa Hidup Solo

on Monday, 1 July 2013


MELIHAT penampilan yang begitu ceria dan anggun, ditambah dengan tubuh langsing persis anak dara, pasti akan membuatkan ramai mata-mata melirik 'meratapi' kejelitaan yang dimiliki penyanyi dan pelakon, Fauziah Latiff.

Beruntunglah, kerana dia adalah antara ibu-ibu moden di negara ini yang mempunyai kekuatan dan kemasyhuran sendiri. Mempunyai dua anak yang kini semakin dewasa tidak membataskan Fauziah atau Jee untuk bergaya ranggi agar mencerminkan dirinya sebagai wanita kosmopolitan.
Tampil dengan menawan dan punya karakter tersendiri pada setiap acara yang dianjurkan sebenarnya mampu membuatkan dia kelihatan begitu yakin terhadap dirinya.

"Keyakinan diri yang tinggi sememangnya perlu ada pada diri saya terutama dalam meneruskan perjalanan seni.
"Mungkin ramai yang sudah tidak melihat saya muncul dalam industri tetapi sebenarnya saya selalu muncul untuk memenuhi undangan nyanyian dalam majlis korporat atau sebagainya," jawab Jee ketika ditanya mengenai kerjaya seninya sebagai seorang penyanyi.

Dalam mengharungi dunia seni memang banyak bekalan yang perlu ada, kata Jee, dalam menghadapi misinya sebagai penyanyi, buat masa sekarang dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk single terbaru.
"Tetapi perbincangan ada dibuat. Saya yakin nanti saya akan kotakan janji buat peminat-peminat yang merindui kehadiran album baru saya.

"Buat masa ini, saya hanya ada kompilasi tetapi untuk ke album single tidak ada rancangan lagi," jelasnya yang ingin kembali menemui peminat.

Setelah lebih 20 tahun bergelumang dalam bidang seni, Jee memberitahu, dia yakin kehidupan solonya kini sangat selesa bersama anaknya, Jeffri Joaquim Indot, 14, dan Jeremy Jay Indot, 12.
"Kedua-duanya sudah semakin dewasa dan bijak berkata-kata. Saya bahagia melihat mereka membesar di depan mata. Pernah dulu saya rasa agak kelakar apabila anak-anak selalu mengusik agar saya mencari teman lelaki setelah lama hidup bersendirian.

"Namun, saya tidak dapat memenuhi kehendak mereka memandangkan sehingga kini, saya lebih senang dan selesa bersendirian," katanya yang tidak terdesak untuk mencari calon suami tetapi bersifat terbuka dalam menjalinkan hubungan cinta.
Memang banyak persoalan akan diajukan oleh pihak media berkenaan perkahwinan baharu tetapi Jee lebih selesa jika perkara itu tidak dibincangkan walaupun perasaan dan keinginan untuk berkahwin tidak pernah terpinggir dari dalam fikirannya.

"Bukan tak nak kahwin...biarlah jodoh yang tentukan segala-galanya. Kalau hari ini saya kata tidak mahu berkahwin, tiba-tiba esok pula saya kahwin. Lebih senang saya berserah kepada Allah.

"Kalau ditakdirkan saya bertemu jodoh dalam waktu terdekat, saya terima dan kalau tidak ada pun saya tidak kecewa. Apabila sudah tiba masanya untuk cinta itu datang, saya tetap menerimanya.

"Cuma, untuk saya pergi mencari cinta, itu tidak mungkin berlaku," ujar Jee terus terang setelah gagal dalam perkahwinan enam tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, jarang juga kisah cinta Jee tersebar dan jika adapun cerita yang tersebar kononnya dia dilamun cinta ataupun sudah mendirikan rumah tangga.

sumber : http://www.utusan.com.my/


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved