Raja Ilya dibenci kerana jahat?

on Wednesday 24 July 2013


Watak Haliza dalam drama Dahlia buat Raja Ilya semakin popular.

NIATNYA pergi ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa tetapi kedatangannya disambut dengan kata-kata amarah peniaga.

Belum sempat Raja Ilya bertanya harga makanan yang dijual, dia terus disapa dengan kata-kata, "Kami sekeluarga benci awak".

Kata Raja Ilya, awalnya dia memang terkejut dengan lontaran kata-kata peniaga yang tidak dikenali itu tetapi kembali tersenyum apabila diberitahu yang peniaga itu hanya membenci watak Haliza, lakonannya dalam drama Dahlia.

"Siapa yang tidak terkejut, orang yang tidak dikenali tiba-tiba kata benci kepada kita. Selepas ini saya akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan penonton setia drama Dahlia.

"Apa pun saya bersyukur kerana watak Haliza itu berjaya memberi impak kepada penonton dan sekali gus menjadi platform untuk saya terus berkarya," katanya tersenyum.

Menurut Raja Ilya, ketika mendapat watak tersebut, dia tidak sangka karakter Haliza begitu jahat.

"Apabila mengetahui kejahatan Haliza yang amat luar biasa itu, saya takut untuk membawanya tetapi saya terima juga bagi menguji kebolehan diri.

"Walaupun dibenci atau dimarahi oleh orang ramai kerana watak itu, saya bersyukur tidak ada lagi perkara buruk seperti dibaling batu menimpa diri saya," kata Raja Ilya yang mula dikenali menerusi filem Appalam.

Justeru namanya semakin dikenali, Raja Ilya menegaskan bahawa dia tidak akan pernah bersikap demand.

"Wajah saya yang tidak seperti Melayu pernah membuatkan saya kecewa dengan industri hiburan kerana enggan menawarkan watak dalam sesebuah drama. Kini, saya boleh bersyukur kerana tawaran yang datang semakin banyak.

"Mungkin kerana penangan watak Haliza yang saya bawakan membuatkan saya semakin dikenali. Terima kasih kepada Global Station yang memberikan saya peluang untuk berlakon dalam Dahlia dan menggandingkan saya dengan artis-artis senior seperti Hans Isaac, Faizal Hussein dan Dira Abu Zahar," ujarnya tentang drama yang disiarkan di saluran Astro Mustika HD itu.

Dia yang baru sahaja selesai penggambaran telemovie sempena Syawal, Misteri Malam Raya bergandingan dengan kumpulan Senario berkata, raya kali ini bakal meriah.

Ini kerana dia akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama buat pertama kali kepada peminat, kenalan dan sanak saudara di Shah Alam nanti.
sumber : http://www.utusan.com.my/

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved