Nampaknya Salman Khan bakal dipenjarakan selama 10 tahun sekiranya dia didapati bersalah atas dakwaan memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian pada September 2002.
Dalam kejadian di Mumbai itu, seorang lelaki meninggal dunia dan tiga lagi parah apabila Salman yang memandu dalam keadaan laju merempuh sekumpulan orang tidak berumah yang sedang tidur di laluan pejalan kaki di bandar raya itu.
Salman yang cuba mengelak daripada dijatuhkan hukuman, nampaknya sekarang tidak boleh ‘lari’ lagi. Dia terpaksa berhadapan dengan apa saja hukuman yang bakal dijatuhkan oleh mahkamah dalam perbicaraan pada 19 Julai ini.
Sebelum ini, dunia Bollywood dikejutkan dengan hukuman penjara ke atas aktor Sanjay Dutt selepas didapati bersalah atas tuduhan memiliki senjata api. Nampaknya selepas ini mungkin giliran Salman pula.
Selain itu, Bollywood juga dikejutkan dengan kematian aktres Jiah Khan yang membunuh diri kerana dipercayai kecewa dalam percintaan.
Nampaknya kebelakangan ini, kegemilangan dan kemeriahan industri filem Bollywood turut disulam dengan pelbagai tragedi. Adakah mereka terbawa-bawa dengan watak yang sering dimainkan dalam filem sebagaimana Salman dan Sanjay yang sering menjadi hero dalam filem lakonan mereka.
Dalam setiap filem, mereka adalah ‘raja’, membela nasib masyarakat dan dihormati. Merekalah penyelamat dan pencinta setia sehingga dipuja jutaan peminat di seluruh dunia.
Sepatutnya Salman menjadi contoh kepada pelakon baru dan tidak bertindak sesuka hati dengan berasakan dirinya kebal daripada undang-undang kerana status mereka selaku selebriti terkenal.
Selama 25 tahun menceburi bidang lakonan, Salman sudah berlakon hampir 90 filem dan ia adalah suatu pencapaian yang luar biasa untuk aktor yang sudah berusia sepertinya.
sumber :http://www.hmetro.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment