Pendatang baru dalam dunia lakonan, Deedee Nash menjelaskan yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk menjadi seorang pelakon. Bermula dengan seorang model, Deedee kini membintangi filem terbaru arahan Raja Mukhriz, terbitan Grand Brilliance yang berjudul ‘Tujuh’ disamping Johan As’ari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Marsha Milan, Christina Suzanne dan ramai lagi.
“Kerjaya saya bermula sebagai seorang model. Selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi MARA Perak dalam jurusan Rekaan Fesyen, saya terus bergiat aktif bergerak sebagai model. Selepas empat tahun saya bergiat aktif menjadi seorang model, seorang kenalan saya menyuruh saya menghantarkan profil saya kepada Raja Mukhriz,” jelas Deedee yang ditemui di lokasi penggambaran filem ‘Tujuh’ di Cameron Highlands baru-baru ini.
“Kemudiannya, kami ada berbincang mengenai projek lakonan pada sekitar tahun lepas, tapi selepas itu senyap sahaja. Tetapi pada bulan Februari lalu, saya mendapat panggilan dan saya terpilih untuk menjayakan watak sebagai isteri kepada Zul Ariffin dalam telemovie ‘Kabin Tepi Tasik’ arahan Raja Mukhriz di Astro Ria,” kata gadis jelita ini.
Selepas menjayakan telemovie ‘Kabin Tepi Tasik’, Deedee mendapat panggilan untuk ke menghadiri uji bakat watak filem ‘Tujuh’ dan akhirnya Deedee berjaya mendapat watak sebagai Emma dalam filem tersebut.
“Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk berlakon filem ini, tapi apabila saya mendapat tawaran sebegini, saya tidak menolaknya. Saya terima ini sebagai rezeki saya. Apa yang ada di depan mata, saya ambil peluang ini untuk mencuba dan menjayakannya,” ulas gadis tinggi lampai ini.
Ketika Deedee bercerita mengenai cabaran dalam melakonkan watak Emma dalam filem ini, dia menjelaskan yang watak Emma sangat berbeza dengan dirinya.
“Watak Emma sememangnya berbeza dengan diri saya. Emma ada perangai gedik dan ingin kelihatan cantik sentiasa, sedangkan saya realitinya seorang yang ‘simple’ sahaja. Watak Sam, lakonan Johan As’ari yang mempunyai hubungan dengan Suri, lakonan Marsha Milan membuatkan Emma cemburu kerana Emma suka pada Sam,” jelas Deedee mengenai watak Emma.
Mengulas mengenai pengalamannya dibimbing oleh aktres ternama Ellie Suriati sebelum penggambaran filem ‘Tujuh’ bermula, Deedee menjelaskan yang pengalam itu sangat bermakna buat dirinya.
“Pengalaman saya ketika dibimbing oleh Ellie Suriati sangat menyeronokkan. Saya banyak belajar mengenai teknik lakonan daripadanya. Ellie banyak membantu saya dan para pelakon lain bagi menghidupkan dan mencorakkan watak masing-masing dalam filem ini,” tutur Deedee mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment