Pasangan kekasih berkecai digilis treler

on Friday, 20 September 2013


18 September 2013
MUAR, Hajat sepasang kekasih untuk bertunang hujung tahun ini tidak kesampaian apabila motosikal yang mereka tunggangi terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler dekat Kampung Buah Keras 2, Jalan Temenggung Ahmad di sini.



Dalam kemalangan kira-kira 11.05 malam semalam itu, Mohd Azamudin Ahmad, 18, berasal dari Parit Limbung, Jalan Parit Jawa di sini, dan teman wanitanya Wan Hs Norfatihah Wan Pauzi, 16, dari Kampung Parit Bakar di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Sahadan Jaafar ketika dihubungi berkata ketika kejadian Mohd Azamudin dalam perjalanan menghantar kekasihnya pulang ke rumah di Kampung Parit Bakar dekat sini setelah menjemputnya dari sebuah pasar raya.

"Setiba di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Ex-5, cuba memotong sebuah treler dari arah sama, namun bertembung sebuah motosikal lain yang datang dari arah hadapan dengan menunggang secara kumpulan.

"Pasangan tersebut yang terjatuh kemudian tercampak ke bawah lori dan terseret beberapa meter menyebabkan anggota tubuh mereka mengalami kecederaan parah termasuk putus beberapa bahagian anggota," katanya.

Seorang lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu dan masih belum dikenali pasti identitinya patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu pemandu treler seberat 25 tan itu, Mohd Isa Hamid, 52, berkata semasa kejadian, dia bersama kelindan lori itu, Musa Muhamad, 45, sedang dalam perjalanan menghantar muatan makanan ayam dari Pelabuhan Klang ke Semerah, Batu Pahat.

"Selepas berlaku perlanggaran, saya lihat di cermin sisi, motosikal mangsa terseret jauh tetapi tidak nampak penunggang serta pemboncengnya. Kami ingatkan tidak ada apa-apa berlaku dan memberhentikan treler kira-kira 40 meter selepas itu.

"Namun apabila turun, kami terkejut apabila melihat dua tubuh manusia bergelimpangan dalam keadaan putus dan hancur anggota badan di atas jalan raya," katanya.
-- BERNAMA
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved