22 September 2013
JEMPOL - Dua rakan sekerja sebuah ladang sawit di Bera, Pahang maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan lori tangki tanpa muatan di Kilometer 34 Jalan Bahau-Keratong, petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis daerah Jempol, Deputi Superintendan Tukiman Seriman berkata, Teo Lian Tian, 71, bersama rakannya, Amirun Ein Rafiq, 34, maut di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di bahagian kepala dan badannya.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, sebuah lori tangki dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Keratong-Bahau hilang kawalan lalu masuk ke bahu jalan sebelah kiri.
“Kemudian, lori itu cuba naik semula ke laluan asal tetapi tersasar ke laluan bertentangan. Dalam masa sama datang sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier dan berlaku pertembungan.
“Selepas pertembungan itu, lori berkenaan terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter di bahu kiri jalan. Bagaimanapun, pemandunya selamat dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Jempol," katanya.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat.
"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika mengesahkan kejadian, semalam.
Sumber : sinarharian.com.my
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment