PADA saat suhu industri seni tempatan sedang dilanda kisah kontroversi kes penceraian pelakon Rita Rudaini dan pemain bola sepak Aidil Zafuan, kemelut rumah tangga pelakon jelita Erra Fazira tidak terlepas menjadi buruan.
Seringkali menolak untuk memberikan jawapan konkrit mahu pun menyimpulkan status rumah tangganya bersama Engku Emran Zainal Abidin, Erra sebelum ini sekadar memberikan kenyataan secara umum dan menyifatkan rumah tangga mereka masih stabil.
Kesempatan bertemu dengan bekas Ratu Cantik Malaysia 1992 itu ketika pelancaran wangian terbaharu Estee Lauder di Hotel Ritz Carlton Kuala Lumpur, Kosmo! mendapatkan kenyataan lanjut mengenai status terkini mahligai Erra.
Ini kerana, sehingga kini, kestabilan rumah tangga mereka terus menjadi tanda-tanya. Erra, saat ditemui tenang menjawab soalan daripada pihak media, namun pintanya, jangan terlalu dikorek kisah rumah tangganya kerana saat tiba masanya, dia sendiri yang akan memberitahu kepada umum.
Ikuti temu bual tersebut.
Kosmo!: Bagaimanakah kehidupan peribadi Erra sekarang?
Erra Fazira: Saya sentiasa menyibukkan diri dengan bekerja, tapi tanggungjawab terhadap anak dan sebagai ibu masih berjalan seperti biasa. Saya juga akan pastikan jadual sebagai artis dan kepada keluarga seimbang sebaik mungkin.
Umum sudah tahu kisah rumah tangga anda dan Engku Emran yang didakwa sedang bergolak masih belum diperjelaskan dengan lebih mendalam. Sekuat manakah ikatan perkahwinan kalian hingga hari ini?
Kuat tidak kuat, kita sudah ada anak bersama-sama dan ikatan itu tetap ada disebabkan dia merupakan bapa kepada anak saya. Dia juga seorang bapa yang baik.
Komen anda mengenai status rumah tangga anda terkini?
Sudah beberapa tahun saya mendengar gosip rumah tangga saya yang goyah dan saya melalui perkara ini dengan tenang dan normal. Sama ada betul atau tidak, saya ketepikan cerita-cerita buruk mengenai saya sebab sudah terlalu penat. Saya mahu lalui kehidupan dengan tenang dan aman.
PERSOALAN tentang rumah tangga Erra dengan Emran bukan isu baharu, namun kini ia semakin dibangkitkan apabila Erra hanya banyak memuat naik gambarnya bersama anak sulungnya, Engku Aleesya berbanding gambar mereka sekeluarga.
Tidakkah semakin lama dipendam, semakin banyak asakan daripada orang sekeliling yang mahu mengetahui mengenai kesahihan cerita itu. Sampai bilakah anda akan simpan penjelasan itu?
Saya rasa saya berhutang penjelasan, tapi saya ada sebab kenapa saya berbuat demikian.
Sehingga hari ini saya masih bertahan walaupun suatu masa nanti saya terpaksa leraikan juga. Tidak baik juga untuk saya menggantung orang (masyarakat) tidak bertali dan saya pun ada sebab kenapa tidak bersuara.
Jadi, bagaimana boleh anda simpulkan tentang rumah tangga anda? Suatu hari nanti apabila sudah sampai masa yang sesuai saya akan jelaskan.
Baiklah, difahamkan baru-baru ini anda baru pulang daripada menjalani penggambaran di sekitar Eropah. Sudikah dikongsikan pengalaman menarik sepanjang di sana?
Penggambaran itu dilakukan di sekitar Jerman, Itali dan Belanda selama dua minggu. Menariknya, sepanjang di sana kami mengembara menaiki motorhome caravan dan ini adalah pengalaman baharu saya serta benar-benar mencabar.
Apabila menjalani penggambaran beberapa buah telefilem dan drama pada satu-satu masa, tidakkah sukar untuk membeza-bezakan karakter sepanjang tempoh singkat itu?
Memang sukar kerana kita bimbang watak-watak itu mungkin terjejas dan senang terkeliru, tapi pengarah ada untuk memperbetulkan watak kalau sedikit tersasar.
Sumber : Kosmo
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment