Trio JoHaRa Era FM diarah mohon maaf isu komen cap ayam

on Sunday, 25 August 2013


Johan, Ray dan Hanif beri komen negatif.

Deejay Era FM iaitu Johan, Ray dan Hanif akan memohon maaf kepada juara Liga Perdana Sarawak berhubung komen 'cap ayam' dalam rancangan Johara Pagi Era minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio Sdn Bhd (Astro Radio) Dr Jake Abdullah berkata beliau sudah memanggil deejay berkenaan semalam dan memberi amaran kepada mereka agar tidak lagi mengeluarkan komen negatif berkaitan mana-mana pasukan bola sepak di negara ini.

"Minggu depan, anda akan mendengar permohonan maaf berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis peluasan Era FM, hitz FM dan MY fm ke Bandar Miri hari ini.

Beliau mengaku benar-benar kecewa selepas mengetahui insiden itu, yang menimbulkan kemarahan peminat Sarawak sehingga terdapat ancaman bunuh terhadap Johara.

"Orang yang tidak ghairah dengan bola sepak tidak akan faham," katanya sambil menambah Era FM sentiasa menyokong Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sejak 2010.

Kenyataan negatif itu dikeluarkan apabila Sarawak kalah 1-2 kepada Perak pada perlawanan Piala Malaysia baru-baru ini, dan deejay berkenaan didakwa memberi komen Sarawak menjuarai Liga Perdana dengan rekod tanpa kalah kerana pasukan itu bermain dalam liga yang mana semua pasukannya adalah 'cap ayam' atau tidak berkualiti.

Deejay berkenaan juga didakwa menyifatkan Sarawak sebagai pasukan yang tidak layak bermain dalam Piala Malaysia dan hanya boleh bermain di peringkat Liga Perdana.

Komen itu menimbulkan kemarahan peminat tempatan serta ahli politik di sini dan kebanyakan mereka melahirkan kekecewaan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter serta menggesa program Astro itu diboikot selain timbul ancaman bunuh terhadap Johan dan Ray, jika mereka berkunjung ke Sarawak.

Pemantauan Bernama mendapati kebanyakan blog memulakan kempen bagi memboikot Era FM sebagai tanda protes jika deejay berkenaan enggan memohon maaf ketika mereka ke udara.

Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili berkata deejay berkenaan adalah personaliti yang dikenali ramai dan mereka sepatutnya mengetahui etika ketika bersiaran di radio.

"Pemuda PBB mendesak satu permohonan maaf dibuat secara terbuka, jika mereka bergurau, maka mereka sudah melampaui batasan, perlu ada had, mereka harus memahami sensitiviti komuniti tempatan," katanya kepada Bernama.

Dalam perkembangan lain, Jake berkata peluasan itu sebahagian rancangan jangka panjang Astro Radio bagi memperkukuh kedudukannya dalam industri penyiaran di negara ini.

"Visi kami ialah memiliki operasi sendiri yang bebas di Sabah dan Sarawak, mudah-mudahan ia akan menjadi kenyataan dalam tempoh 24 hingga 36 bulan akan datang," katanya.

Beliau berkata pada masa ini, sesetengah program yang bersiaran adalah dari Semenanjung, dan selepas beroperasi sepenuhnya di sini, pendengar di Sarawak serta Sabah boleh menikmati kandungan tempatan 24 jam sehari.

Ketika ini, dianggar lebih 500,000 pendengar Era FM, hitz fm serta My FM di Sarawak dan Sabah.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved