cory Monteith (tengah) yang memegang watak Finn Hudson bersama para pelakon Glee.
PADA Ahad lalu, dunia hiburan antarabangsa dikejutkan dengan pemergian seorang pelakon kacak, Cory Monteith. Kematiannya memang tidak dijangka kerana sebelum ini dia yang melakonkan watak Finn Hudson dalam siri drama muzikal popular, Glee, dilihat cergas dan sihat seperti rakan-rakan Glee yang lain.
Sungguh terkejut Hits mendengar berita kematian Monteith memandangkan watak yang dibawanya sebagai seorang penyanyi yang hebat sangat diminati dan digilai ramai. Wajah kacak dan bersih juga menjadikan dia sebagai idaman banyak anak-anak gadis untuk dijadikan sebagai teman lelaki.
Memang suaranya dalam Glee boleh dikatakan sebagai antara yang mengusik jiwa dan kalbu. Siapa yang meminati drama muzikal itu, pasti akan ketahui bagaimana lunaknya suara Monteith.
Malangnya, pada 13 Julai lalu (waktu Kanada), Monteith ditemui mati di bilik penginapannya di tingkat 21 Hotel Fairmont Pacific Rim. Kisah kematian itu juga telah disahkan oleh polis Kanada dan punca kematian masih belum dapat dipastikan.
Menarik juga untuk dilaporkan, polis menolak kemungkinan berlaku perbuatan khianat. Keputusan bedah siasat pula belum dikeluarkan dan hasilnya akan dimaklumkan kemudian selepas bedah siasat yang dijalankan pada Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Kanada, Doug Lepard berkata, tiada petunjuk yang mengatakan kematian Monteith berpunca daripada perbuatan khianat. Menurut Lepard, mayat Monteith ditemui oleh kakitangan hotel tersebut selepas pelakon itu gagal mendaftar keluar pada waktu sepatutnya dia berbuat demikian.
"Kami tidak mempunyai bukti punca kematiannya," kata Koroner, Lisa Lapointe.
Tambah Lepard, sebelum kejadian, Monteith keluar bersama beberapa rakannya dan polis telah mengambil keterangan mereka.
Dimaklumkan Monteith telah mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 6 Julai lalu dan beberapa orang dilihat mengunjungi biliknya, tetapi LePard memberitahu Monteith telah kembali ke biliknya seorang diri pada awal pagi seperti yang dirakam oleh kamera pengawasan hotel itu.
Terdahulu, Monteith sentiasa berterus-terang dan tidak pernah menyembunyikan realiti bahawa masalah peribadinya menjadikan dia terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Dia pernah memberitahu majalah Parade pada 2011 bahawa dia telah mula menggunakan dadah pada usia 13 tahun.
Sejak April lalu, Monteith menghabiskan masa dalam pusat pemulihan awal tahun ini bagi menjalani rawatan menangani ketagihan terhadap dadah. Memang dia telah sukarela pergi ke pusat pemilihan untuk menjalani rawatan.
Sebelum kematiannya juga, Monteith dilaporkan ada menerima beberapa orang tetamu berbeza, malah dia juga sering pulang menjelang awal pagi hingga telah menimbulkan spekulasi yang negatif terhadap kematiannya.
Menjadi seorang selebriti yang sangat popular sepertinya, Monteith semasa hayatnya benar-benar mahu mengubah persepsi orang terhadapnya. Azamnya begitu kuat untuk membebaskan diri daripada penyalahgunaan dadah.
Dia tidak mahu anak-anak di masa hadapan menjadikan dirinya contoh sebagai penagih yang bermasalah sejak sekolah tetapi masih mampu berjaya menjadi selebriti. Bagi Monteith itu merupakan satu contoh atau perkara yang sangat teruk untuk dibanggakan.
"Jika saya dikenang seperti itu, ia sesuatu yang sangat tidak bagus dan memalukan," katanya.
Sebelum ini juga, Monteith buat pertama kali menceritakan kehidupannya semasa remaja yang penuh dengan masalah termasuk terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Menurutnya kepada majalah Parade, dia bukan seperti watak yang dilakonkan dalam Glee, Finn Hudson dan amat bernasib baik kerana masih hidup.
Ibu bapa pelakon itu juga telah berpisah semasa dia berumur tujuh tahun menyebabkan dia terlibat dengan pelbagai masalah termasuk menghisap ganja dan ponteng sekolah. Monteith memberitahu, ketika berumur 16 tahun, dia sudah pergi ke 12 sekolah berbeza termasuk perlu menjalani program untuk remaja bermasalah.
"Saya tidak dapat dikawal dan mempunyai masalah yang sangat besar. Saya mengambil pelbagai jenis dadah dalam dos berlebihan untuk melupakan pelbagai masalah hidup," katanya.
Katanya, disebabkan itu, dia terpaksa menerima rawatan di pusat pemulihan pada usia 19 tahun dengan bantuan ibu dan rakan-rakannya.
"Itulah kali pertama saya masuk ke pusat pemulihan tetapi saya mengulangi perbuatan itu selepas keluar. Akhirnya saya sedar bahawa saya perlu meneruskan hidup lalu berhenti mengambil dadah," ujarnya.
sumber ; http://www.utusan.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment