Lelaki Hilang Setelah Di Kejar Bunyi Misteri

on Sunday, 21 July 2013

Doa seorang isteri agar dipertemukan semula dengan suaminya menjadi kenyataan apabila lelaki tersebut yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui dalam keadaan tidak bermaya di tepi jalan Kampung Banggol, Jitra, Rabu lalu.

                                                  Gambar Hiasan
Dalam kejadian jam 11 malam, seorang penoreh getah Mohd Asri Hamzah, 38, dilaporkan hilang ketika berjalan kaki bersama seorang rakannya untuk pulang ke rumah selepas menjala ikan di tali air yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa di Kampung Perupok.

Roziana Tajudin, 27, isteri lelaki tersebut berkata, dia menerima khabar gembira apabila rakan suaminya datang memberitahu mangsa ditemui di tepi jalan kira-kira jam 2 petang Rabu lalu dalam keadaan tidak bermaya kira-kira empat kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.

Menurut Roziana, suaminya sempat menceritakan semula kejadian sebenar yang berlaku selepas dia dikejar "bunyi pelik" di kawasan kebun getah pada malam kejadian menyebabkan Mohd Asri melarikan diri menuju ke rumah rakannya menyusuri hutan berhampiran.

“Pada mulanya saya hampir putus asa kerana selepas dua hari operasi mencari suami dilakukan di sekitar kawasan kampung dan hutan berhampiran menemui jalan buntu tetapi alhamdulillah dia akhirnya ditemui dalam keadaan selamat.

“Dia memberitahu dia mula tidak sedap hati ketika sedang menjala ikan bersama Mohd Suhaidi Md Zuki, 21, apabila terasa ada ‘sesuatu’ mahu menangkapnya menyebabkan dia mengajak rakannya itu pulang walaupun gagal memperoleh hasil tangkapan ikan.

“Sepanjang di hutan, dia hanya berlindung di bawah jambatan dan tidur di tempat yang selamat tetapi ketika itu dia berada dalam keadaan separuh sedar malah tidak berapa ingat apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Roziana berkata, sejurus ditemui, para penduduk kampung membawa suaminya yang ketika itu dalam keadaan letih dan tidak terurus pulang, malah terdapat kecederaan kecil di kedua belah kakinya berkemungkinan akibat meredah hutan pada hari kejadian.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana suaminya ditemui selamat dan ia memberi cahaya semula kepada mereka sekeluarga termasuk anak tunggal mereka, Muhammad Azri Azwad, 4, untuk meraikan Aidilfitri nanti.
sumber : kezoom
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved