AZIZ (duduk, kanan) bersama karyawan drama rantaian terbaharu arahannya, Demi Dia.
SELEPAS kemunculan Aziz M. Osman menerusi filem Azura 2012 yang tidak mendapat sambutan hangat daripada penggemar filem, pengarah itu dilihat seolah-olah memencilkan diri daripada industri seketika.
Sehinggalah dia muncul kembali mengarahkan sebuah drama rantaian untuk slot Akasia TV3, Demi Dia yang kini sedang ditayangkan di saluran tersebut.
Melihatkan paten kerjaya bekas suami kepada Nor Aliah Lee itu, Kosmo! beranggapan bahawa dia merajuk disebabkan percubaannya menerusi filem yang membariskan Neelofa dan Shahrizal Jaszle itu gagal berbanding filem-filem sebelum ini.
Mendapatkan kepastian lebih lanjut, Kosmo! yang diundang ketika sesi penggambaran Demi Dia di bangunan Hap Seng, Kuala Lumpur baru-baru ini bertanyakan sendiri kepada sutradara terkenal itu. Berikut sedutan temu bual tersebut.
Kosmo!: Filem Azura 2012 yang gagal meraih populariti setanding filem asalnya menyebabkan Aziz M. Osman merajuk dan enggan mengarah lagi. Benarkah spekulasi tersebut?
AZIZ M. OSMAN: Bukan sebab itu sebenarnya. Mungkin masyarakat melihat saya merajuk dan menyepi kerana filem saya tidak mendapat sambutan tapi bukan itu faktor utamanya.
Jadi apakah faktor sebenarnya?
Saya ada masalah peribadi dan tiada mood untuk membuat kerja. Selama lebih setahun saya membantu kawan-kawan saya dalam industri membuat kerja-kerja belakang tabir dan pascaproduksi. Saya tidak bersedia untuk bergerak sendiri.
Jadi, adakah drama rantaian Demi Dia ini menjadi kemunculan semula Aziz M. Osman?
Ya, drama ini merupakan kemunculan semula saya dalam bidang pengarahan. Kemunculan ini selepas saya mendapat ilham dalam suatu tempoh masa berehat beberapa bulan lalu. Drama ini merupakan adaptasi permasalahan peribadi yang pernah saya lalui.
Maksudnya anda seolah-olah cuba menelanjangkan sisi peribadi sendiri secara bentuk abstrak?
Bukan begitu. Naskhah ini adalah satu bahan yang saya ingin kongsikan kepada masyarakat. Ini adalah situasi sebenar yang saya adaptasikan kepada dalam drama. Dukacita sebenarnya untuk mempunyai keluarga yang terdiri daripada penulis kerana mereka cenderung mengambil inti pati daripada kisah sebenar yang berlaku kepada mereka. Saya tidak mendedahkan tapi mengadaptasi situasi yang pernah berlaku kepada saya.
Apakah kelainan drama Demi Dia dan keistimewaannya buat anda?
Produk ini ada autentik daripada kisah cinta klise. Saya mengikut tradisi slot Akasia. Secara teknikalnya drama ini ada kaitan dengan filem Azura 2012 tapi tidak terikat kepada penceritaan yang sudah ada sebelum ini.
Jadi, apakah yang membezakan drama Demi Dia dan filem Azura 2012?
Drama ini merupakan rentetan kisah selepas Azura dan Zack disatukan dalam filem dan ada cerita yang belum diselesaikan lagi. Demi Dia merupakan lanjutan daripada filem Azura 2012, dan akan ada lebih banyak konflik dan drama tapi bukan drama yang dipaksa-paksa.
Timbul desas-desus mengatakan Elfira Loy dan Zoey Rahman tidak sesuai menjayakan watak pelakon utama Demi Dia. Kenapakah anda mempertaruhkan bintang baharu untuk menerajui drama itu?
Sebenarnya pemilihan mereka kerana kelapangan waktu dan kebetulan ada ruang untuk mereka berikan kepada jadual produksi Demi Dia. Mereka mampu membawakan watak-watak tersebut dan penting untuk mendapatkan Elfira dan Zoey kerana saya merasakan mereka adalah gandingan yang cukup mantap.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/index.asp
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment