Elly Mahu Jadi Artis Serba Boleh

on Thursday, 4 July 2013


Minatnya lebih terarah kepada bidang lakonan, justeru penyertaannya dalam program realiti Raja Lawak musim kelima dua tahun lalu dijadikan landasan untuk mengetengahkan bakat.

Akui bukan mudah bergelar pelawak dalam dunia yang dikuasai lelaki, Elly atau nama sebenarnya, Sarimah Mohd Daud, 31, mengambil keputusan untuk mencuba cabang seni berbeza. Dia mahu berlakon, menyanyi dan menjadi mengacara.

Ditemui di studio The New Straits Times Press (NSTP) di Bangsar, baru-baru ini, wanita berasal dari Taiping ini turut berkongsi perasaan sedih apabila layanan pelawak wanita didakwa tidak sama rata dengan ahli komedi lelaki.

Saya mengaku sukar menjadi pelawak wanita dalam industri ini. Ini kerana lawak ahli komedi lelaki lebih mudah diterima. Kami pelawak wanita ada banyak batasan ketika berlawak dan agak sukar diterima." Elly, Pelakon/Pelawak

“Saya mengaku sukar menjadi pelawak wanita dalam industri ini. Ini kerana lawak ahli komedi lelaki lebih mudah diterima. Kami pelawak wanita ada banyak batasan ketika berlawak dan agak sukar diterima.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk lebih fokus menjadi pelakon. Lagipun berlawak dalam lakonan lebih mudah daripada berlawak di pentas. Saya memang suka berlawak, jadi saya lebih banyak mengambil tawaran berlakon dalam cerita komedi,” katanya.

Elly berkata, dia sudah lama berlakon iaitu sebelum terbabit dalam program Raja Lawak 5.

“Saya mula berlakon pada 2009, tapi ketika itu, tidak banyak tawaran diterima. Selepas program Raja Lawak 5, barulah banyak tawaran masuk.
“Industri mula nampak saya selepas muncul dalam Raja Lawak. Saya bersyukur dengan rezeki yang diterima setakat ini,” katanya.

Baru selesai menjalani penggambaran telefilem terbitan RTM, Chombi Kecom dan drama bersiri, Misteri X, Elly gembira rezekinya tidak putus dalam dunia lakonan. Malah, Elly mendapat banyak tawaran daripada Astro dan RTM.

Mempelbagaikan kegiatannya, Elly mencuba nasib menjadi penyanyi pula.

Menerbitkan single pertama berjudul Ketepi Ketengah, lagu ciptaan Rosli itu diharap menjadi batu loncatan untuk Elly meneroka dunia nyanyian. Menyedari dirinya tidak sempurna seperti penyanyi profesional, Elly hanya mahu mencuba.

“Saya tahu vokal saya tidak sehebat mana. Saya bukannya dilahirkan sebagai penyanyi. Disebabkan itu, saya menghasilkan single berbentuk komedi bukannya pop, ia lebih santai untuk pendengar.

“Saya akui perlu banyak belajar. Disebabkan itu saya mengambil masa lama, iaitu kira-kira enam bulan untuk menghasilkan lagu ini. Saya memang tak tahu langsung menyanyi dan saya mula dari kosong, jadi untuk belajar semuanya,” katanya.

Elly berkata, dia belajar mengenai vokal dan tempo sepanjang proses rakaman single itu.

“Jika single ini berjaya, saya akan mengeluarkan album mini pula,” katanya.
Baginya, tidak salah mencuba pelbagai cabang seni jika sudah berminat.

“Apabila ada peluang, buat apa kita hendak bazirkan. Saya tak kisah apa orang kata kerana saya sudah mencuba yang terbaik. Terpulanglah kepada pada orang ramai untuk mengkritik,” katanya.

Ketika menyertai pertandingan Raja Lawak 5, Elly dan rakannya, Zarina membentuk kumpulan Kami, namun tersingkir pada minggu ketiga.

sumber : http://www.bharian.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved