Kesempatan bertemu dengan pelakon dan pengacara Zoey di Majlis Seindah Ramadhan TV3, baru-baru ini memberikan peluang untuk bertanyakan beberapa soalan mengenai dirinya yang sebelum ini dikaitkan bercinta dengan aktres Elfira Loy.
“Saya sudah agak semestinya soalan ini yang akan ditanyakan oleh para media. Sebenarnya saya dan Elfira tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa seperti mana yang dihebahkan oleh sesetengah pihak.
Kami berdua hanyalah teman rapat. Saya sudah mengenali Elfira sejak awal kemunculannya dalam industry lagi, namun kami terputus hubungan apabila masing-masing sibuk dengan kerjaya. Kami kemudiannya dipertemukan semula dalam Fear Factor dan dari situ bermulanya hubungan rapat antara kami semula,” jelasnya.
Zoey juga menganggap Elfira sebagai adik dan teman rapat kerana buat masa ini dia lebih selesa untuk berkawan dan ingin memfokuskan dirinya kepada kerjaya yang dibinanya sekarang.
“Saya anggap dia sebagai adik saya, lagipun dia masih muda dan banyak lagi benda yang perlu dia fikirkan untuk masa hadapannya. Bagi saya dia perlu fokus kepada kerjayanya sebagaimana apa yang saya buat sekarang ini. Kerjaya lebih penting dan selepas itu barulah kita boleh memikirkan untuk ke fasa yang berikutnya,” katanya.
Sementara itu, Zoey juga akan bersama-sama membintangi drama berjudul ‘Demi Dia’ bersama-sama dengan Elfira Loy yang akan ditayangkan di slot Akasia bermula 3 Julai ini.
Dalam drama ini, Zoey akan memegang watak sebagai seorang suami kepada Elfira dan ini menunjukkan proses kematangan berlaku dalam watak yang diberikan oleh pengarah kepada Zoey. Sebelum ini, penonton seringkali melihat Zoey diberikan peranan sebagai watak seorang pelajar kolej, budak-budak remaja dan sebagainya. Ini juga memberikan cabaran yang besar buatnya untuk lebih matang dalam berkarya.
“Alhamdulillah, saya akan muncul dalam drama 24 episod berjudul ‘Demi Dia’ yang akan ditayangkan tidak lama lagi di Slot Akasia TV3. Drama ini memberikan satu kelainan buat diri saya kerana pertama kali saya diberi peranan sebagai hero serta memegang watak yang agak matang iaitu seorang suami kepada Elfira dan ini sekaligus memberikan cabaran dalam lakonan saya pada kali ini.”
“Selalunya saya diberikan watak-watak pelajar kolej, dan berkemungkinan besar pengarah nampak bakat saya untuk diterjemahkan ke dalam naskhah pada kali ini. Saya sangat bersyukur kerana inilah impian saya untuk membawakan watak yang berbeza dari apa yang pernah saya buat sebelum ini.
Saya berharap peminat dapat menerima saya dalam drama ini dan memberikan komen yang membina buat diri saya supaya saya akan dapat memperbaiki lagi mutu lakonan saya pada masa hadapan,” ujarnya mengakhiri perbualan.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment