Menginjak ke usia 32 tahun, penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui dirinya sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri. Jelas Dayang, sebagai seorang wanita, sudah tentu dia mengimpikan sebuah perkahwinan yang boleh melengkapi kehidupannya. Biarpun begitu, penyanyi yang mendapat jolokan Beyonce Malaysia ini terpaksa akur dengan ketentuanNya.
"Rasanya setiap kali berjumpa pihak media, Dayang pasti akan ditanya tentang kahwin. Tak mengapalah, Dayang pun tak kisah. Maklumlah umur semakin meningkat. Sebagai seorang wanita, Dayang memang ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga.
Tetapi buat masa ini jodoh Dayang belum sampai. Tidak ada lelaki yang sedang bertakhta di hati ini. Bukan Dayang tidak mahu bercinta atau terlalu memilih dalam mencari pasangan, tetapi mungkin tidak ada lelaki yang berani dekat dengan Dayang," ujar Dayang merendah diri.
Dalam masa yang sama, penyanyi ini mengakui dia seorang yang suka menghabiskan masa di rumah dan jarang keluar bersama-sama rakan sama ada untuk membeli-belah, menonton wayang, makan-makan atau sebaliknya.
"Sejak dari dulu lagi Dayang memang jenis yang suka melepak di rumah. Terus-terang Dayang katakan, Dayang tidak mempunyai banyak kawan. Malah, Dayang juga tidak keluar bersama rakan-rakan artis. Kalau Dayang hendak tengok wayang atau 'shopping', Dayang akan keluar bersama adik ataupun pengurus peribadi.
Mungkin sebab itu sehingga kini Dayang masih tidak berteman sebab tidak ada ruang untuk seseorang lelaki menghampiri Dayang. Entahlah, Dayang pun susah nak komen tentang teman lelaki ini. Tak mungkinlah lelaki takut dengan Dayang," ulas Dayang lantas tertawa.
sumber : http://www.gua.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment