Yasmin menyifatkan Noah sebagai pelengkap kehidupan rumah tangganya bersama Sha'arin.
Pelakon Yasmin Hani menjelaskan dia mengalami masalah yang pelik iaitu mudah lupa sejak bersalin anak sulung, Noah Ismail Wong pada 13 November tahun lalu.
Yasmin atau nama sebenarnya Yasmin Hani Ismail Richardson, 35, berkata, keadaan itu membuatkan dia berasa risau kerana sukar untuk memberi fokus dalam kerjaya lakonannya.
"Sebenarnya sejak mengandungkan Noah lagi, saya mengalami masalah mudah lupa. Risau juga dibuatnya.
"Apatah lagi sekarang ini saya terlibat dengan teater Di Bawah Lindungan Kaabah yang akan dipentaskan pada Mei depan dan dialog yang digunakan dalam pementasan itu adalah Melayu Nusantara.
"Harap-harap saya dapat melakukannya dengan baik memandangkan ia merupakan pementasan teater pertama saya," katanya kepada mStar Online.
Selain Yasmin, teater yang diarahkan Rosminah Mohd Tahir itu turut dibarisi pelakon Adi Putra, Nasha Aziz, Elfira Loy, Fizo Omar, Zahid (AF2), Liza Abdullah dan Dayana Roza.
Ia bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan.
Harga tiket serendah RM30 hingga RM200 boleh dibeli dengan melayari www.AirAsiaRedTix.com.
Sementara itu, ditanya pula mengenai pengalamannya sebagai seorang ibu, Yasmin berkata, dia kini cukup bahagia dan menyifatkan Noah merupakan sebahagian pelengkap rumah tangganya bersama suami iaitu Sha'arin Razali.
Bagaimanapun, Yasmin berkata, dia kini seorang yang sensitif berbeza dengan sebelum ini.
"Entah, pelik pula jadinya apabila hati saya mudah tersentuh dan saya tidak suka dengan sikap seperti ini.
"Sebelum ini saya sangat tegas dan tidak pernah menangis. Ini tidak, apabila melihat sesuatu di televisyen berkaitan kanak-kanak yang ditimpa musibah, hati saya terus sebak membayangkan sekiranya ia terjadi pada Noah pula," tuturnya.
sumber: http://www.mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment