Hishammuddin (kiri) bersama Laksamana Samuel Locklear, komander Ketumbukan Pasifik AS (PACOM) dalam satu lawatan bersama akan sejawatannya dari Asean berhimpun di Honolulu untuk menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean diusahakan oleh Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel pada Khamis, sehari sebelum itu sesi Meja Bulat Keselamatan Bukan Tradisional. Foto BERNAMA
HONOLULU: "Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang umpama pesawat kami sendiri. Kami terlibat dalam usaha mencari sama seperti kami mencari pesawat Vietnam kami sendiri."
Menurut Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kata-kata itu diungkapkan oleh rakan sejawatnya dari Vietnam Jen Phung Quang Thanh yang menggambarkan perpaduan Asean dengan Malaysia tatkala Kuala Lumpur dan rakan-rakannya melaksanakan misi besar-besaran mencari pesawat itu yang hilang sejak 8 Mac.
Beliau dan rakan sejawatannya dari Asean berhimpun di Honolulu untuk menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean diusahakan oleh Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel pada Khamis, sehari sebelum itu sesi Meja Bulat Keselamatan Bukan Tradisional.
Dianggap sebagai 'wajah pencarian MH370', Hishammuddin secara tidak langsung turut menjadi tumpuan kalangan yang hadir pada majlis resepsi selamat datang pada Selasa untuk peserta forum yang menjadikan menteri Malaysia itu begitu sibuk.
Jadual tugas harian beliau amat padat yang membawanya ke merata tempat di Honolulu bagi memenuhi pelbagai aturcara yang disenaraikan di Hawaii yang indah menghijau.
Pertamanya adalah pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Voltaire Tuvera Gazmin, sebelum meneruskannya dengan mengadakan pertemuan dengan pegawai memerintah Pasukan Kor Marin Amerika Syarikat Lt Jen Terry G. Robling.
Tidak jauh dari situ Hishammuddin dilihat berada di dalam pejabat Laksamana Samuel Locklear, komander Ketumbukan Pasifik AS (PACOM).
Beliau kemudian berpatah balik untuk tiga pertemuan dua hala - dengan Phung, Pehin Yasmin dari Brunei dan Ng Eng Hen dari Singapura.
Mengenai semua pertemuan itu, beliau memberitahu Bernama bahawa pemimpin yang beliau temui umumnya berpendapat cara Malaysia mengendalikan kehilangan MH370 adalah tepat dan mereka mengakui betapa rumitnya menyelaraskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 26 negara.
Hishammuddin berkata, beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia kepada rakan sejawatan Asean dan pemimpin tinggi tentera AS di Hawaii atas peranan dimainkan negara masing-masing dalam semua peringkat misi SAR.
"Saya juga merayu kepada mereka yang mempunyai jenis aset yang sesuai untuk terus membantu kami," kata Hishammuddin.
Misi mencari pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang kira-kira sejam selepas berlepas dalam penerbangan Kuala Lumpur-Beijing, mendapat bantuan tambahan iaitu kapal selam British HMS Tireless dalam misi mencari di selatan Lautan Hindi.
Hishammuddin berkata, perkara itu disahkan rakan sejawatannya dari Britain Philip Hammond menerusi perbualan telefon pada Selasa pagi. Hawaii 18 jam lewat daripada Malaysia.
Hishammuddin berkata bagi Asean, apa yang diharungi Malaysia berhubung kehilangan MH370 "adalah sesuatu yang mereka mungkin akan lalui".
"Perkara ini terlalu besar untuk dikendalikan oleh sebuah negara. Siapa lagi yang Malaysia boleh harapkan untuk membantu selain daripada jiran-jiran serantau dan negara-negara lain yang baik," katanya.
Hasil daripada analisis terhadap data satelit, dirumuskan kedudukan terakhir Penerbangan MH370 adalah di tengah Lautan Hindi, barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas kehilangan pesawat itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". Operasi mencari diteruskan di kawasan itu.
Hishammuddin berpendapat dunia memerhatikan Asean susulan tragedi MH370, dan ini, menurutnya merupakan saat sesuai untuk Malaysia menunjukkan keupayaan kepimpinannya.
Beliau berkata, turut disedari bahawa hubungan antara menteri-menteri pertahanan Asean perlu diperluaskan, tetapi ini perlu berlaku tanpa menjejaskan asas penubuhan Asean.
Asean dianggotai Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
sumber: http://www.mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment