Juara Pencetus Ummah (PU) Muhammad Hafiz menasihati golongan ustaz selebriti atau pakar motivasi agar perlu lebih berhati-hati ketika bercakap menyentuh soal agama Islam.
Muhammad Hafiz atau lebih mesra disapa Hafiz, 33, berkata, mereka perlu mengkaji dahulu sama ada sesuatu perkara atau kisah tauladan berkaitan seseorang nabi itu bena-benar terdapat dalam Al-Quran ataupun tidak.
"Bukan senang untuk bercakap soal agama, bagi golongan pakar motivasi ada segelintir yang pandai bercakap tentang agama perlu kaji dahulu apa yang mereka ingin perkatakan.
"Jika mereka buat kesilapan atau menyebarkan perkara yang tidak sahih akibatnya ramai yang mendengar akan mempercayai dan menyebarkan kepada orang lain pula, itu sudah berdosa," katanya kepada mStar Online.
Sementara itu, Hafiz turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu taksub dengan dakwah yang disampaikan oleh ustaz selebriti.
Menurutnya, Islam sendiri melarang umatnya terlalu taksub dengan individu tanpa sebab-sebab tertentu.
"Kita perlu ingat semua perkara ada batasan dan tidak boleh berlebih-lebih, tidak kira siapa yang kita minati atau ikuti semuanya perlu berpada-pada,
"Jangan sampai apabila kita suka sehingga yang tidak betul kita terima dan pejam mata," katanya.
Sementara itu, Hafiz mengakui bahawa dia kurang aktif dalam melayari laman sosial, malah tidak pernah mempunyai akaun Twitter.
Bagiamanapun, dia sedar dalam dunia serba canggih ini dia perlu belajar bagi memudahkannya menyampaikan dakwah terutamanya kepada golongan remaja.
"Saya kurang aktif dengan laman sosial, Facebook pun saya baru sahaja ada dan itu pun sukar untuk membalas mesej yang diterima.
"Twitter pula saya belum buka akaun lagi, Insya-Allah saya akan belajar kerana ia penting bagi mendekatkan diri kepada golongan remaja masa kini," ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap soal populariti yang dikecapnya selepas bergelar juara program keagamaan Pencetus Ummah, Hafiz mengakui sentiasa disapa ketika berada di luar.
"Sekarang pelu jaga penampilan kerana ketika berada di luar akan ada sahaja orang yang menegur dan ingin bergambar.
"Kalau dulu setakat ingin ke kedai sebelah jalan, saya hanya berkain pelekat tetapi kini kena lebih berhati-hati," katanya.
sumber: http://www.mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment