Hafiz Suip Kecewa Isu Tidak Muncul Di MHI Diperbesar

on Monday, 31 March 2014


Hafiz anggap isu lewat ke program MHI sudah selesai.

Penyanyi Hafiz Suip berasa kecewa apabila isu kelewatannya menghadiri program siaran langsung TV3, Malaysia Hari Ini (MHI) beberapa minggu lalu diperbesar-besarkan.

Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 24, berkata, isu tersebut tidak patut dijadikan sebagai bahan gosip memandangkan ia telah diselesaikan menerusi cara baik dengan pihak produksi program berkenaan.

"Diakui memang saya lambat ke program itu tetapi ia tidak sepatutnya jadi isu kerana saya telah meminta maaf kepada seluruh produksi.

"Malah isu itu sudah selesai. Saya kecewa apabila ada pihak yang sengaja mahu jadikan ia jadi bahan berita," katanya yang dihubungi mStar Online pada petang Ahad.

Sebuah akhbar mingguan pada Ahad melaporkan Hafiz gagal menghadirkan diri ke sesi temu bual khas di MHI bagi mempromosikan projek Minggu Setiausaha A Golden Moment With Hafiz yang bakal diadakan di dewan Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Jalan Duta di sini pada 22 April depan.

Hafiz dikatakan menyebabkan seluruh produksi kelam-kabut memandangkan waktu slot itu diberikan khas kepadanya dan ia membuatkan penerbit program itu terpaksa menukar pengisian program itu serta-merta.

Sementara itu, Hafiz menyifatkan kejadian itu merupakan kesilapan normal yang dilakukan oleh sesiapa sahaja walaupun ia bukan dilakukan dengan sengaja.

Dalam pada itu, sebagai seorang penyanyi profesional, Hafiz berkata, dia tidak pernah merosakkan reputasinya dengan menimbulkan masalah sikap tidak berdisiplin.

"Diakui, sebagai manusia biasa, saya bukannya sempurna, ada masanya kita melakukan kesilapan.

"Tetapi saya bukan seorang penyanyi yang suka melanggar disiplin. Seboleh-bolehnya saya akan tepati masa agar tidak menyusahkan pihak lain. Cuma apa yang berlaku sebelum ini adalah di luar jangkaan," ujarnya.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved