Pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat kerap berbohong kononnya dia sudah menyiapkan kerjanya sedangkan keadaan adalah sebaliknya, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Isnin.
Bekas majikan Nirmala iaitu Hii Il Tiing, 48, berkata isterinya, Yim Pek Ha, 46, sering mengadu kepada beliau bahawa pembantu rumah itu selalu berbohong.
"Isteri saya kata dia (Nirmala) suka berbohong kononnya dia sudah menyiapkan kerjanya sedangkan (sebenarnya) dia tidak berbuat demikian," kata Hii pada pendengaran kes saman terhadap beliau dan isterinya yang didakwa mendera serta mencederakan pembantu rumah itu dengan seterika panas serta air mendidih.
Hii berkata Nirmala cemerkap ketika melakukan kerja rumah dan kerap merosakkan baju ketika menggosok pakaian namun wanita itu tidak pernah mengadu kepada beliau bahawa Yim telah mencederakannya.
Saksi itu juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak percaya kecederaan yang dialami pembantu rumah berkenaan dilakukan isterinya.
Nirmala memfailkan saman pada 28 Jan 2010 yang mendakwa pasangan itu mendera dan menyebabkan kecederaan parah terhadapnya menggunakan seterika panas serta air mendidih.
Penyataan tuntutan Nirmala menyebut beliau digaji pasangan itu, yang tinggal di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini, pada September 2003 dan mendakwa Hii gagal menghalang Yim daripada mencederakan beliau atau menyediakan rawatan perubatan sewajarnya.
Nirmala, 29, menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialami serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan dan perbelanjaan perubatan selain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Yim, seorang bekas pramugari, dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Nov 2008 selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala menggunakan seterika panas serta air mendidih di Villa Putera antara bulan Januari, Mac dan April 2004.
Selepas rayuan, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman penjara Yim kepada 12 tahun dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 1 Okt 2012.
Perbicaraan di depan Hakim Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung pada Selasa. - BERNAMA
sumber: http://www.mstar.com.my/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment