MASYARAKAT disaran supaya sentiasa peka dan tidak mengambil ringan jika mengalami demam berpanjangan kerana ia merupakan tanda awal demam denggi.
Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Muniswaran Nadesin berkata, orang ramai yang mengalami demam denggi ini berisiko kerana boleh menjadi penyebab kematian jika melibatkan denggi berdarah.
"Untuk rekod, setakat ini HTAR menerima 150 kes melibatkan kes demam denggi setakat Januari hingga awal Februari ini.
“Kira-kira 20 pesakit terpaksa diwadkan setiap hari kerana saya difahamkan Selangor adalah antara negeri mencatatkan kes demam denggi di Malaysia,” katanya.
Menurutnya, orang ramai perlu peka dan mengambil tahu tanda awal dijangkiti demam denggi kerana kebanyakan masyarakat hanya sedar dijangkiti penyakit ini selepas mendapat rawatan di hospital.
“Selain demam berpanjangan, pesakit juga akan mengalami simptom lain seperti muntah berterusan, cirit-birit, sakit perut, ruam merah atau gusi berdarah, sakit kepala dan sakit sendi badan.
"Jika orang ramai berhadapan dengan gejala ini, dinasihatkan terus merujuk kepada hospital berdekatan, bukan kepada klinik berbayar kerana hospital mampu menyediakan rawatan yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata, faktor cuaca juga memainkan peranan dalam pembiakan nyamuk aedes kerana Malaysia selalunya mengalami musim hujan setiap hujung tahun dan keadaan yang lembap ini menyumbang kepada pembiakan nyamuk.
"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar rumah dengan memantau sebarang tempat takungan air.
“Suri rumah juga perlu sentiasa pantau pasu bunga yang mempunyai pot takungan air dan memastikan ia sentiasa kering bagi mengelakkan nyamuk aedes bertelur.
“Selain itu, jika mempunyai kolam mandi, perlu gunakan ubat bagi membunuh larva yang menyebabkan pembiakan nyamuk,” katanya.
Muniswaran berkata, pencegahan awal dapat membantu mengelakkan penyakit demam denggi ini menjadi pembunuh dalam masyarakat.
sumber; http://infosahih.blogspot.com/
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment