Almy Nadia Akui Ada Pihak Kurang Senang Pertunangannya

on Friday, 14 February 2014

Langkah pelakon Almy Nadia merahsiakan majlis pertunangannya dengan Fizz Fairuz yang berlangsung pada 22 Oktober lalu adalah untuk mengelak hubungan mereka terjejas.

Almy Atau nama sebenarnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 27, berkata, dia tidak mahu ada pihak yang berasa kurang senang dengan kebahagiaannya yang terjalin dengan pelakon lelaki tersebut.

"Saya bukan sengaja merahsiakan pertunangan kami pada tahun lalu, ia adalah permintaan kedua-dua keluarga agar tidak timbul perkara yang tidak diingini.

"Perkara seperti ini, ada orang suka ada juga yang tidak suka, sebab itu saya lebih selesa ia diumumkan selepas kad jemputan kahwin siap nanti. Tapi Fizz telah umumkannya awal," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Almy berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakannya merahsiakan majlis pertunangan tersebut.

Pada 1 November tahun lalu, dalam laporan mStar Online, Almy memberitahu masih menanti rombongan merisik daripada keluarga Fizz dan dia tidak akan mengadakan majlis pertunangan kerana bimbang perkara tidak elok berlaku.

Bagaimanapun dia sebenarnya telah bertunang ketika memberi kenyataan berkenaan.

Fizz Fairuz pada Khamis mengumumkan akan menikahi Almy pada 30 Mei ini di kediaman wanita itu di Pulau Pinang, sementara majlis resepsi akan berlangsung pada 31 Mei di Hotel Vistana, negeri tersebut.

Manakala majlis menyambut menantu akan diadakan di Raub, Pahang pada Jun depan.

Dalam pada itu jelas Almy, selepas apa yang berlaku selama lapan tahun hubungan mereka, dia lebih selesa untuk berdiam diri daripada menghebohkan perkara baik tersebut.

Tambahnya, dia juga terkejut apabila perkara ini diberitahu lebih awal sebelum perancangan yang sepatutnya.

"Selepas berbagai perkara yang terjadi selama lapan tahun hubungan kami, saya lebih berhati-hati untuk bercakap.

"Apa-apa pun kita hanya merancang dan tuhan yang menentukan segalanya," kata Almy.

Sementara itu, Almy berkata dia akan mula bercuti bagi menguruskan perkahwinannya selepas tamat penggambaran drama Janji Jasli terbitan TV3.

Dalam pada itu, Almy berkata, setakat ini dia ada menerima beberapa tajaan untuk majlis resepsinya nanti.

"Ada beberapa tajaan namun masih belum disenaraikan semua lagi, saya tidak mahu ada yang berkecil hati jika tidak disebut, jika sudah ada senarai penuh saya akan beritahu,” katanya.

Sebelum ini kisah cinta Almy dan Fizz menjadi hangat apabila Fizz telah bertunang dalam diam dengan seorang wanita berusia 26 tahun di Kuantan, Pahang, pada 10 Februari 2013.
Peristiwa itu menjadi kecoh apabila wanita itu dikatakan isteri orang.
sumber: http://www.mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved