Sibuk Uruskan Keluarga, Fasha Sandha Tetap Jaga Disiplin Kerja

on Wednesday, 1 January 2014

Fasha tetap jaga disiplin dilokasi walaupun kini komitmennya pada keluarga.

Pelakon Fasha Sandha menegaskan tetap menjaga disiplin kerja yang telah diamalkan sejak dahulu lagi walaupun dia kini sibuk menguruskan rumah tangga dan anaknya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, lapan bulan.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 29, berkata, dia tidak mahu statusnya sebagai isteri dan ibu dijadikan alasan untuk tidak memberikan terbaik kepada tumpuannya ketika berada di lokasi.

"Sejak dahulu lagi saya memang amalkan disiplin dalam bekerja dan walaupun saya sudah mempunyai komitmen lain tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menjaga perkara itu.

"Jika kita susun masa dengan baik, Insya-Allah semuanya akan berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.

Sementara itu, Fasha berkata, pada tahap ini dia tidak lagi memikirkan tentang populariti sebagai selebriti sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada lakonan yang kini dianggap sebagai hobinya.

Jelas Fasha, keluarga adalah keutamaannya kini dan mengakui sudah puas mengecap populariti semasa zaman solonya sebelum ini.
Fasha dan suaminya, Jejai.

"Tiada apa ingin saya kejarkan lagi dan kehidupan yang saya lalui kini adalah impian sejak dahulu. Tentang populariti itu saya tidak kisah lagi kerana ia bukan lagi keutamaan saya.

"Apa yang lebih penting saya menjaga keluarga dan melunaskan tanggungjawab dalam kerjaya dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Fasha berkata, dia juga bersikap lebih selektif dalam tawaran yang datang kepadanya kerana ingin menyesuaikan dengan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri.

"Dari dulu lagi saya memang selektif tetapi kini saya turut menimbangkan sama ada sesuatu penggambaran itu terlalu lama atau perlu berjauhan dengan keluarga," katanya.

Pun begitu kata Fasha, jadualnya sepanjang 2014 telah pun penuh dan memudahkannya untuk membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga.
sumber: http://mstar.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved