Shahrizal Jaszle Tak Takut Pendakwa Bawa Saksi

on Wednesday 22 January 2014


Pelakon Shahrizal Jaszle memberitahu dia akur dengan keputusan mahkamah yang menolak permohonan yang dibuatnya untuk menggugurkan kes khalwat yang melibatkan dirinya pada pertengahan tahun lepas. Pelakon yang popular dengan drama ‘Asmara’ ini ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu tidak kisah kerana yakin dia berada di pihak yang benar.

“Saya dah agak permohonan saya akan ditolak. Tapi saya tak kisah sebab saya yakin tidak bersalah,” ulas Shahrizal memberitahu akan terus mempertahankan dirinya walaupun perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling pada Selasa tidak memihak padanya.

Pada prosiding tersebut, Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah menolak rayuan yang dikemukakan Shahrizal menerusi Peguam Syarie yang mewakilinya, Ashraf Ranee pada 19 Disember lalu dan menetapkan 8 April depan untuk tarikh perbicaraan seterusnya.

Ketika prosiding, Pendakwa Syarie, Hasrul Hafidzi Ahmad Kamal turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan seramai sembilan orang saksi untuk kes tersebut. Ketika ditanya kepada pelakon drama ‘Gemilang’ ini mengenai reaksinya apabila pihak pendakwa bakal menampilkan saksi, ini jawapannya.

“Saya tak boleh nak ulas sangat kes ini sebab peguam saya yang menguruskan kes ini. Walau apapun, saya tak takut sebab saya tahu saya tak bersalah. Saya mahu bersihkan nama saya dan harap dapat menang kes ini sebab saya memang tak bersalah,” ujarnya yang kini sedang sibuk menjalani sebuah drama untuk slot Samarinda di TV3.

Terdahulu, Shahrizal dan pasangan khalwatnya, Farah Nurizzati Salleh ditahan atas tuduhan khalwat di Apartment Taman Sri Subang kira-kira jam 3.30 pagi pada 16 Mei 2013 oleh unit penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dalam sebutan kes yang berlangsung pada 13 November 2013, Farah telah mengaku bersalah dan diperintahkan membayar denda maksimum iaitu RM3000 atau penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda. Manakala, Shahrizal pula tidak mengaku bersalah dan mahkamah telah memerintahkannya untuk membayar wang jaminan sebanyak RM1500.
sumber: http://www.gua.com.my/
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved