Noor Azman, 39, bekas pemandu peribadi pelakon Zahida Rafik memfailkan saman fitnah terhadap aktres itu di Mahkamah Tinggi hari ini.
Saman tersebut dibuat kerana Zahida gagal membuktikan tuduhan yang dia telah melarikan wang tunai RM200,000 yang didakwa milik Zahida pada tahun lalu.
Pihak Noor Azman, telah menghantar satu surat tuntutan kepada Zahida supaya menarik laporan polis, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada plaintif namun dia gagal berbuat demikian pada 4 April lalu, kata peguamnya Latheefa Koya.
Pihak plaintif iaitu Noor Azman terpaksa memfailkan saman serta menuntut perintah injunksi bagi menghalang Zahida daripada terus memfitnah plaintif secara lisan, menerusi media atau pun Internet.
"Selain itu kami turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan dan apa-apa yang difikirkan sesuai oleh mahkamah terhadap defendan," kata Latheefa Koya dipetik mStar Online.
Pihak plaintif tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap saman yang dikemukakan terhadap Zahida.
Sebelum ini Noor Azman menjadi kontroversi apabila dia mendakwa Zahida mempunyai hubungan intim dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selama beberapa tahun dan mendakwa telah dibayar oleh menteri terbabit untuk menjadi pemandu kepada pelakon itu.
Dia meletak jawatan sebagai pemandu Zahida pada 29 Februari tahun lalu dan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dituduh melarikan wang RM200,000 kononnya milik Zahida.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment