Fizz yang kelihatan mesra bersama Nur Afrina yang memanggilnya dengan gelaran papa.
RAMAI yang terkejut apabila pelakon Fizz Fairuz memberitahu bakal berkahwin dengan bekas kekasihnya, pelakon Almy Nadia.
Malah, ramai juga yang mempertikaikan tindakan Fizz, 34, berkahwin dengan Almy, 27, selepas apa yang telah dilakukan pelakon filem Nur Kasih itu terhadap Almy.
Bahkan, ada juga yang pelik kenapa Almy sanggup menerima Fizz kembali selepas lelaki itu mengambil keputusan bertunang dengan wanita lain.
Bagaimanapun, ada sumber yang memberitahu Kosmo!, keputusan Fizz mahu berkahwin dengan Almy kerana mereka sudah mempunyai cahaya mata.
Cahaya mata yang dimaksudkan sumber itu ialah anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya, 4.
Sumber itu juga mendakwa, wajah kanak-kanak perempuan itu juga persis muka Fizz.
Terkejut dengan berita tersebut, Kosmo! segera mendapatkan kenyataan kedua-dua pelakon itu.
Kosmo!: Ada yang mendakwa bahawa anak angkat Almy iaitu Nur Afrina Darwisya merupakan anak sebenar kalian. Benarkah?
FIZZ: (Terkejut). Nur Afrina itu memang anak angkat Almy. Dia tiada kena-mengena dengan saya. Bagaimanapun, ketika hendak mengambil anak angkat dulu, Almy pernah memberitahu saya. Namun, segala proses pengambilan semuanya diuruskan oleh Almy. Budak itu juga diambil Almy sejak bayi lagi.
ALMY: Saya rasa sangat kelakar. Kalau betul apa yang didakwa, pergilah selidik semua hospital ada atau tidak nama Almy melahirkan anak. Tolong jangan ragui status anak angkat saya. Saya ambil dia (sebagai anak angkat) sejak 27 April 2010.
Ada yang mendakwa Almy pernah menghilangkan diri selama setahun lebih kerana mengandung? Sila komen.
ALMY: Sebenarnya saya tidak hilangkan diri. Ketika itu saya masih berlakon, cuma mungkin orang tidak perasan sebab saya hanya muncul untuk RTM sahaja. Ketika itu juga saya akui berat badan naik tetapi bukan disebabkan mengandung.
Adakah Almy terkejut dengan dakwaan tersebut?
ALMY: Saya tidak terkejut. Saya sudah bersedia sejak awal lagi dengan dakwaan seperti ini. Sebelum ini lagi ramai yang pernah meragui status anak tersebut. Malah, ramai juga yang beritahu muka Nur Afrina lebih kurang sama dengan Fizz apabila saya memuat naik gambarnya di laman sosial Instagram.
Bagaimanakah hubungan Fizz dan Nur Afrina?
FIZZ: Hubungan saya dengan dia (Nur Afrina) baik. Dia juga panggil saya papa dan hadir ke sambutan hari jadi saya pada 22 Oktober lalu. Kami mulai rapat sejak tiga bulan lalu.
ALMY: Mereka menyanyangi antara satu sama lain. Malah, Nur Afrina sendiri sudah menganggap Fizz bapanya dan memanggil dia papa.
FIZZ menyatakan yang dia akan merisik Almy Nadia pada minggu depan.
Apakah yang dimaksudkan oleh Fizz bahawa Nur Afrina menganggap anda sebagai bapanya?
FIZZ Sebelum ini dia tidak mempunyai bapa. Tiba-tiba dapat kasih sayang seorang bapa. Itu yang dia seronok dan anggap Fizz sebagai bapanya.
Apakah perkembangan terbaharu majlis perkahwinan kalian? Sudah ada tarikh?
FIZZ: Buat masa ini belum ada sebarang tarikh kahwin. Namun, saya akan merisik Almy pada minggu depan dengan membawa sebentuk cincin.
ALMY: Saya tetap tidak mahu memberi sebarang kenyataan selagi majlis belum berlangsung. Bila sudah selesai, Fizz sendiri akan memberitahu perkara selanjutnya. Biar dia sahaja yang bersuara.
Sudah buat sebarang persiapan perkahwinan?
FIZZ: Saya menyerahkan semuanya kepada keluarga. Mereka yang menguruskan perkahwinan kami.
Apakah perasaan Fizz apabila hubungan kalian akan berakhir di jinjang pelamin?
FIZZ: Ada orang cakap yang saya ini sudah ludah jilat balik. Bagi saya, tutup buku lama dan buka buku baharu. Kita hanya merancang dan ia juga bergantung pada jodoh.
Kenapakah hanya anda sahaja yang memberi kenyataan tetapi Almy pula menutup mulut?
FIZZ: Saya sendiri yang beritahu dia jangan buka mulut sebab takut bercanggah kenyataan pula.
Beralih pada soalan lain, apakah perkembangan anda dalam bidang seni?
FIZZ: Saya telah berhenti berlakon seketika hingga 5 Januari depan kerana ingin memberi tumpuan pada Akademi Fantasia 2013 (AF2013). Pada masa yang sama, saya juga sedang sibuk dengan program Liga Lawak Superstar. Sekarang ini juga saya sedang membina badan untuk watak saya iaitu Super Bro dalam filem Cicak Man 3 yang akan menjalani penggambaran pada awal tahun depan.
ALMY: Dalam dua bulan lagi saya akan kembali dengan perniagaan saya iaitu karipap sejuk beku. Saya juga sedang menjalani penggambaran drama untuk RTM berjudul Gadis Saza.
Sumber : kosmo.com.my
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment