Imej terbaharu Stacy yang diambil daripada Facebook miliknya.
SHAH ALAM: Penyanyi Stacy menganggap imej baharunya dengan penampilan berambut pendek dan berwarna perang bukan menciplak imej artis popular antarabangsa, Miley Cyrus.
Stacy atau nama sebenar Stracie Angie Anam, 23, berkata, fesyen rambut tersebut adalah merupakan trend semasa dan digayakan oleh kebanyakan wanita bukan oleh penyanyi lagu Wrecking Ball itu sahaja.
"Saya tidak meniru Miley Cyrus, gaya ini adalah trend rambut semasa dan digayakan oleh semua wanita seluruh dunia.
"Sebelum Miley, Rihanna juga pernah mengayakan fesyen rambut ini, cuma mungkin ketika ini Miley sedang popular dan orang banyak bercakap tentangnya," katanya kepada mStar Online.
Stacy ketika persembahan lagu Bosan di Separuh Akhir Muzik Muzik 28.
Tambahnya, fesyen rambut tersebut sangat sesuai dengan konsep lagu dan album baharunya yang bakal dikeluarkan awal tahun depan.
Bagaimanapun, jelas Stacy, dia tidak menafikan ada segelintir peminat yang kurang gemar dan mengkritik fesyen rambut tersebut.
"Ramai juga yang tidak suka tapi biasalah sesuatu perkara ada orang yang suka, ada yang tidak.
"Pada saya gaya rambut ini sesuai dengan lagu-lagu rancak yang sering saya bawakan," katanya.
Persembahan bersama Akim untuk lagu Kembali.
Bercakap tentang lagu Bosan yang layak menempatkan dirinya ke Anugerah Juara Lagu 28 pada Januari depan, Stacy berkata lagu tersebut adalah karya yang paling sukar untuk dinyanyikannya.
"Lagu Bosan ini sangat tinggi dan saya perlu menyanyi sambil menari. Ia memerlukan stamina yang sangat kuat.
"Lepas ini saya akan mula berlatih dan joging untuk mendapatkan stamina menyanyikan lagu tersebut di pentas AJL28 nanti," katanya.
Sumber : mStar Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment