KUALA LUMPUR 14 Nov. - Tidak sampai dua bulan selepas kejadian beberapa keping siling runtuh di kaunter wad bersalin Hospital Serdang dekat sini pada 30 September lalu, kejadian sama berulang di hospital berkenaan hari ini.
Kali ini kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi melibatkan runtuhan beberapa keping siling berukuran kira-kira 3x3 meter di Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan kepada jururawat bertugas dan pesakit yang dirawat dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Ardi Awang ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian, pihaknya sudah pun mengenal pasti tanda-tanda kerosakan pada siling di wad tersebut dan perkara itu dalam proses pembaikan.
"Kami baharu sahaja bermesyuarat semalam bagi membincangkan urusan membaiki siling di hospital ini setelah mendapat peruntukan baru-baru ini. Namun secara kebetulan siling itu jatuh pagi tadi," katanya.
Sebelum ini, pada 13 Ogos 2012, tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Unit Jabatan Kecemasan cedera setelah 15 keping siling di situ runtuh.
Pada 30 Januari 2011, kejadian runtuhan siling berukuran keluasan kira-kira 10 meter nyaris menghempap sembilan orang awam sejak hospital itu beroperasi pada Disember 2005.
Difahamkan, kejadian siling runtuh di hospital berkenaan dipercayai berlaku lebih 10 kali melibatkan Zon Merah di Jabatan Kecemasan dan Trauma, bahagian X-Ray, forensik, lobi, klinik pakar serta wad hospital.
Ardi berkata, proses pembaikan siling di seluruh hospital berkenaan akan dilakukan secepat mungkin. - UTUSAN ONLINE
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment