Penjelasan penuh Marsha Milan Londoh tentang adegan ranjang dalam Filem Laga

on Wednesday, 20 November 2013

Marsha Milan

BUKAN mudah bertapak dalam lapangan seni, resam menjadi artis seharusnya menjadi contoh kepada masyarakat dan jika tersilap langkah pasti tohmahan akan dilemparkan.

Begitulah yang dilalui oleh penyanyi yang juga pelakon, Marsha Milan Londoh apabila adegan ‘panas’ melibatkan dia dan Wan Hanafi Su dalam filem Laga, arahan Ismail Yaacob menimbulkan kontroversi. Ini kerana Marsha dikatakan sangat berani mendedahkan sebahagian dadanya dan menjayakan adegan ranjang.

Adegan ranjang bersama Aktor Wan Hanafi Su

Ramai yang berpendapat pelakon muda itu sanggup berbuat demikian kerana terdesak ingin mengecap populariti kembali seperti dulu sekali gus mahu penerbit lain melihat potensi dan keberanian yang ditunjukkannya.

Bagaimanapun, aktres kelahiran borneo ini menyangkal kenyataan itu.

Katanya, tidak timbul soal ingin populariti kembali seperti dulu, atau dia terdesak berbuat begitu semata-mata ingin penerbit lain mengambilnya untuk berlakon selepas ini.

“Saya ingin memperbetulkan sedikit persepsi kolot sesetengah orang. Bagi saya, lakonan itu mempunyai seni tersendiri yang tidak mampu ditafsirkan dengan mudah atau dilihat dengan mata kasar.

“Pada dasarnya, saya sudah diberitahu oleh pengarah Laga, tentang adegan ini. Awal-awal lagi saya sudah berbincang tentang teknik pengarahan untuk babak ini.

"Sebenarnya, babak ini dihasilkan berpaksikan kepada jalan cerita. Bukan sengaja diwujudkan bagi mempopularkan filem ini bagi meraih ‘box-office’ atau sebagainya,” katanya pelakon yang pernah popular dengan drama televisyen internet Kerana Karina ini.

Menurutnya, jika sesiapa sahaja yang menonton filem ini dan memahami plot keseluruhan cerita, maka baru akan tahu mengapa perlu dan pentingnya adegan ini.

Pelakon berketurunan Kadazan-Dusun meminta orang ramai tidak melatah atau membuat andaian sendiri hanya kerana babak ini.

“Sebagai pelakon, saya puas dapat merealisasikan watak ini seperti yang dikehendaki oleh pengarah. Saya tidak mahu memandang hal ini sebagai satu tembok untuk saya memperbaiki mutu lakonan saya.

 

“Yang pasti, peluang berlakon dan bekerjasama dengan aktor-aktor seperti Wan Hanafi Su, Datuk Rosyam Nor, Eman Manan sudah dianggap satu penghormatan kepada orang seperti saya yang ingin meningkatkan kualiti lakonan dari semasa ke semasa,” katanya yang tidak nampak adegan itu sebagai kesalahan besar kerana mengikut prosedur lakonan.

Sorok identiti kekasih

Dalam pada itu, kisah percintaan Marsha kembali menjadi perhatian apabila bekas kekasih Kefli AF ini sekali lagi memilih jejaka Melayu sebagai pasangan.

Biarpun berusia dua tahun lebih muda darinya, namun Marsha tidak menganggap ia sebagai satu halangan mereka menjalinkan hubungan yang lebih serius.

“Saya suka lelaki yang matang dan bersifat pelindung kepada pasangannya. Saya kenal dia pun dah lama, lebih kurang tujuh tahun. Tapi baru empat bulan lalu kami menjalinkan hubungan yang lebih serius.

“Bagaimanapun atas pengalaman lalu, saya tidak mahu dedahkab identitinya sehinggalah hubungan kami benar-benar pasti. Maksud saya ke alam perkahwinan, “ katanya.

Di tebak bilakah dia mahu menamatkan zaman bujang memandangkan akan menginjak ke usia 28, tahun depan, Marsha berkata dia tidak mempunyai sebarang sasaran ke arah itu.

“Dulu saya sasar nak kahwin pada usia 25 tahun tapi tak tercapai. Jadi kini saya tak mahu letak sebarang sasaran. Bimbang bila dah sampai target, saya tak kahwin, ia akan menjadi tekanan kepada saya,” jelasnya.

Masih menyanyi

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbarunya, Marsha berkata, dia baru saja muncul dengan single terbaru, Jujur Bilang Cinta yang juga hasil ciptaannya sepenuhnya.

Menurut Finalis Akedemi Fantasia musim ketiga ini, dia akan terus mempromosikan Jujur Bilang Cinta dan sebuah lagi singlenya yang berjudul Bebaskan.

Katanya, walaupun dia banyak terlibat dalam dunia lakonan, namun, nyanyian adalah merupakan prioritinya.

“Saya tidak mahu mensia-siakan kebolehan bermain piano dengan menghasilkan lagu dan lirik sebagai kelangsungan saya sebagai anak seni.

“Saya juga sering diundang menjayakan persembahan korporat yang tidak mendapat liputan media. Mungkin kerana itu, ramai menganggap saya sudah tidak aktif dalam bidang nyanyian, sedangkan hakikatnya saya mempunyai minat yang mendalam untuk merancang kerjaya nyanyian saya.

“Saya juga sedang berjinak-jinak dengan dunia penggubahan lagu sekarang dengan menghasilkan beberapa buah lagu untuk dinyanyikan sendiri atau diberikan kepada penyanyi lain yang berminat. Saya akan merakam lagu ciptaan saya hujung bulan ini di Jakarta dengan Randy Pangalila bertanggungjawab sebagai pengubah muzik ,” katanya yang sangat meminati dunia nyanyian.

Selain itu, Marsha terlibat dalam filem animasi terbitan Walt Disney Studios bertajuk Frozen: Anna & Permaisuri Salji yang mana suaranya digunakan untuk watak Elsa.

“Menariknya, saya diberi peluang keemasan untuk menyanyikan lagu tema filem ini yang alih bahasa Melayu, Bebaskan. Dalam versi Inggeris, lagu ini dinyanyikan oleh Demi Lovato berjudul Let It Go,” katanya.

 

Sementara itu, filem lakonannya, Laga bakal ditayangkan pada 23 Januari 2014 nanti. Selain tiga lagi filemnya bakal ditayangkan pada tahun sama iaitu 7UJUH, Juanita dan Pak Pong.

Marsha juga mahu menceburi bidang perniagaan. Katanya, dia bersama seorang teman baiknya yang sudah memulakan rancangan menghasilkan t-shirt sendiri. Dimana t-shirt itu yang menampilkan variasi corak menarik yang tidak seperti t-shirt biasa yang dijual di pasaran.

Katanya, setiap corak yang dihasilkan adalah hasil idea perkongsian bersama dan rakan baiknya.

“Kalau tiada aral, tahun depan rasanya perniagaan menjual t-shirt ini akan direalisasikan. Dan saya akan menjualnya secara online saja,” katanya yang turut merancang untuk membuka sebuah kafe bersama keluarganya di Sabah tidak lama lagi.

Sumber : Sinar Harian
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© INFO SANTAI All Rights Reserved